Oleh Murni Wan Omar

Kuala Lumpur: Mahkamah Tinggi di sini, semalam menetapkan 27 Julai untuk keputusan bagi permohonan semakan kehakiman dikemukakan lima anak jutawan kosmetik Datuk Sosilawati Lawiya terhadap Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) supaya mengeluarkan sijil kematian wanita itu.

Hakim Datuk Asmabi Mohamad menetapkan tarikh itu selepas selesai mendengar hujah kedua-dua pihak di sini, semalam.

Terdahulu, Peguam Kanan Persekutuan Maisarah Juhari berhujah Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) tidak pernah menolak permohonan mengeluarkan sijil kematian Sosilawati.

Namun, menurutnya, berdasarkan nasihat perundangan, pendaftaran kematian Sosilawati boleh dipertimbangkan selepas Mahkamah Rayuan memutuskan rayuan bekas peguam Datuk N Pathmanabhnan dan tiga pekerja ladang yang didapati bersalah membunuh wanita itu.

“Rayuan itu ditetapkan untuk pendengaran pada Ogos ini. Di dalam rayuan dikemukakan itu ada menyatakan keraguan terhadap identiti mangsa serta berhubung isu tiada bukti Sosilawati dibunuh.

“Seksyen 108 Akta Keterangan 1950 memperuntukkan andaian kematian hanya boleh disahkan meninggal dunia selepas tujuh tahun. Surat dihantar JPN kepada pemohon menyatakan mereka akan mempertimbangkan dan bukan menolak terus,” katanya.

Sementara itu, peguam Muhammad Iskandar Ismail yang mewakili kelima-lima pemohon dalam hujahnya berkata keputusan Mahkamah Rayuan bukanlah jaminan JPN akan mengeluarkan sijil kematian itu.

“JPN terkhilaf apabila menolak permohonan pemohon (kelima-lima anak Sosilawati). Ini kerana peruntukan Seksyen 108 Akta Keterangan tidak terpakai di dalam kes itu kerana Mahkamah Tinggi memutuskan Sosilawati mati dibunuh.

“Prosiding perbicaraan menyatakan ada kesan darah ditemui dan disahkan milik Sosilwati. Oleh itu kami berhujah permohonan dibuat mematuhi undang-undang ditetapkan,” katanya.

Pada 24 September 2014, Erwan Suwari Rizuwan Buhari, 28, Md Erwan Nasri, 27, Erni Erinawati Sofea, 25, Erni Rineelawati, 24, dan Siti Nur Fatimah, 17, memfailkan permohonan itu melalui Tetuan Basharuddin Fa’izie Iskandar.

Kelima-lima mereka memohon perintah bagi membatalkan keputusan JPN bertarikh 25 Julai 2014 untuk tidak mengeluarkan sijil kematian Sosilawati.

Berdasarkan afidavit sokongan, Erwan Suwari Rizuwan mendakwa JPN memberi alasan secara lisan bahawa sijil kematian tidak boleh dikeluarkan berikutan tiada mayat dijumpai dan individu itu dianggap hilang.

Sekiranya tiada mayat dijumpai, Seksyen 108 Akta Keterangan 1950 adalah terpakai di mana selepas tujuh tahun surat anggapan kematian dikeluarkan.

Menurut Erwan Suwari Rizuwan, terdapat keadaan khas bagi kes ibunya iaitu mahkamah masih boleh sahkan kematian berdasarkan keterangan dan bukti diberikan.

Oleh itu, dia memohon perintah deklarasi untuk mengesahkan kematian dan mengeluarkan sijil kematian Sosilawati.

JPN dalam surat bertarikh 25 Julai 2014 memaklumkan pendaftaran kematian Sosilawati boleh dipertimbangkan selepas rayuan kes pembunuhan wanita itu diputuskan Mahkamah Rayuan.

Pada 23 Mei 2013, Mahkamah Tinggi Shah Alam menjatuhkan hukuman gantung sampai mati ke atas Pathmanabhan, T Thilaiyalagan, R Matan dan R Kathavarayan kerana membunuh Sosilawati dan tiga individu lain.

Sosilawati, 47, pegawai bank Noorhisham Mohamad, 38, peguam Ahmad Kamil Abdul Karim, 32, serta pemandu Sosilawati, Kamaruddin Shamsuddin, 44, dibunuh di Ladang Gadong, Banting, 30 Ogos 2010 selepas dilaporkan hilang keluarga masing-masing beberapa hari sebelum kejadian.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 27 Mei 2015 @ 9:02 AM