ORANG awam menahan gelandangan yang didakwa cuba culik budak sebelum diserahkan kepada polis.
ORANG awam menahan gelandangan yang didakwa cuba culik budak sebelum diserahkan kepada polis.
Oleh Siti Nor Hidayatidayu Razali dan Siti Nadzirah Che Mud

Kota Bharu: Seorang lelaki yang dipercayai menculik kanak-kanak berusia tujuh tahun ditangkap orang ramai di hadapan Masjid Muhammadi, Jalan Sultanah Zainab, di sini, semalam.

Dalam kejadian jam 10.20 pagi, suspek berusia 22 tahun yang juga gelandangan sedang mengemis di lokasi kejadian.

Ketua Polis Kelantan Datuk Mazlan Lazim berkata, suspek yang berasal dari Terengganu ditangkap orang awam di hadapan Masjid Muhammadi.

“Ketika ditahan, lelaki gelandangan itu sedang mengemis sebelum kelibatnya dilihat orang ramai yang kemudian menahan dan menyerahkannya kepada polis.

“Siasatan lanjut sedang dijalankan untuk mengesan mangsa lain dan mengetahui sama ada suspek terbabit dengan sindiket penculikan atau sebaliknya,” katanya.

Mazlan berkata, pemeriksaan terhadap kanak-kanak itu mendapati tiada sebarang kecederaan dialaminya dan kes disiasat mengikut Seksyen 363 Kanun Keseksaan.

Harian Metro semalam melaporkan mangsa, Aiman Kamarolzaman, 7, diculik seorang lelaki tidak dikenali di Masjid Muhammadi ketika menemani bapanya, Kamarolzaman Mohamad, 50, menunaikan solat Isyak, Jumaat lalu.

Aiman bagaimanapun diselamatkan orang awam pada jam 5.30 petang, Sabtu lalu, ketika merayau meminta sedekah di sebuah pusat beli-belah sebelum menghantarnya pulang kepada ibu bapanya.

Sementara itu, saksi kejadian, Azirul Izwan Abdullah, 40, berkata, dia melihat lelaki itu sedang merayau di hadapan masjid sebelum menangkapnya selepas yakin suspek adalah lelaki yang menculik Aiman.

Sabtu lalu, Azirul Izwan menemui Aiman sedang merayau meminta sedekah di sebuah pasar raya dan menghantar kanak-kanak itu kepada ibu bapanya selepas menyedari Aiman adalah kanak-kanak yang dilaporkan hilang.

“Saya yakin lelaki itu suspek menculik Aiman kerana ketika saya menemui mangsa di sebuah pasar raya, lelaki itu dilihat turut berada di sana dan meminta sedekah sebelum melarikan diri.

“Sebaik melihat lelaki itu, saya terus menahannya dan menyerahkan kepada polis untuk tindakan lanjut,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 26 Mei 2015 @ 10:50 AM