KAMAROLZAMAN bersama Aiman di Pasar Besar Siti Khadijah.
KAMAROLZAMAN bersama Aiman di Pasar Besar Siti Khadijah.

Kota Bharu: Polis akan menjalankan siasatan terperinci berhubung seorang kanak-kanak yang mendakwa diculik sebelum dipaksa menjadi peminta sedekah di sebuah pasar raya, Jumaat lalu.

Ketua Polis Daerah Kota Bharu Asisten Komisioner Rohaimi Md Isa berkata, pihaknya tidak menolak kemungkinan wujud sindiket yang menculik dan menjadikan kanak-kanak sebagai peminta sedekah.

“Polis sudah mengambil keterangan mangsa dan berusaha membuat lakaran wajah suspek yang didakwa menculik mangsa.

“Kes itu kini disiasat mengikut Seksyen 363 Kanun Keseksaan,” katanya.

Sementara itu, Azirul Izwan Abdulllah, 40, yang menyelamatkan Aiman Kamarolzaman, 7, berkata, dia menemui mangsa ketika sedang bersiar-siar di pasar raya itu.

“Saya dihampiri mangsa bersama dengan seorang remaja lelaki berusia 18 tahun. Mereka kemudian meminta sedekah daripad saya.

“Saya kemudian menyoal mangsa sebelum dia menangis ketakutan. Melihat situasi itu, saya mendesak dan bertanya di mana kanak-kanak itu tinggal,” katanya.

Menurutnya, dia membawa mangsa menunggang motosikal sebelum menghantar Aiman ke kedai bapanya terletak di Pasar Besar Siti Khadijah, di sini.

“Saya bersyukur kerana dapat menyelamatkan kanak-kanak malang itu daripada terus menjadi mangsa culik,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 25 Mei 2015 @ 10:41 AM