Wan Nursalsabila (kiri) dan Nur Azriyatie  saling mengucapkan tahniah sempena Istiadat Konvokesyen UiTM Ke-82 di kampus UiTM Perlis.
Wan Nursalsabila (kiri) dan Nur Azriyatie saling mengucapkan tahniah sempena Istiadat Konvokesyen UiTM Ke-82 di kampus UiTM Perlis.
Oleh Hafizudin Mohd Safar

Arau: Amalan belajar berkumpulan selain mengorbankan waktu tidur menjadi kunci kejayaan dua pelajar apabila diumumkan penerima Anugerah Naib Canselor sempena Istiadat Konvokesyen Universiti Teknologi MARA (UiTM) kali ke-82 di UiTM Perlis di sini, semalam.

Graduan ijazah Sarjana Muda Pentadbiran Perniagaan Pengurusan Sumber Manusia Wan Nursalsabila Wan Mahmood, 23, berkata, dia mengorbankan waktu tidurnya untuk mengulang kaji pelajaran terutama ketika menghampiri musim peperiksaan.

Menurutnya, waktu lapang hujung minggu pula digunakan untuk mengulang kaji secara berkumpulan bagi memastikan tidak ketinggalan dalam silibus pengajian walaupun pelajar lain keluar bersiar-siar mahupun pulang ke rumah atau kampung mereka.

“Biasanya saya dan kumpulan mengulang kaji selepas solat Isyak, malah saya berusaha bersengkang mata setiap kali musim peperiksaan untuk membaca dan melakukan solat sunat sebagai kekuatan sebelum menghadapi peperiksaan.

“Belajar seorang diri tidak begitu efektif walaupun seseorang itu pintar atau rajin kerana mungkin ada perkara penting yang tertinggal dan tidak disedari ketika berada dalam bilik kuliah.

“Justeru, belajar berkumpulan lebih praktikal kerana masing-masing boleh berkongsi semula nota supaya setiap ahli dapat mempelajari apa yang mungkin tertinggal dalam kuliah atau tutorial,” katanya.

Wan Nursalsabila yang berasal dari Kota Bahru, Kelantan berkata demikian selepas menerima anugerah berkenaan yang disampaikan Pro Canselor UiTM Tan Sri Nuraizah Abdul Hamid di Dewan Sri Semarak UiTM Perlis, di sini.

Hadir sama Rektor UiTM Perlis Prof Datuk Dr Ahmad Redzuan Abd Rahman.

Rakan sekuliahnya Nur Azriyatie Azizan, 24, yang berasal dari Langkawi, berkata, dia bersama Wan Nursalsabila yang kebetulan berada di kelas dan kursus sama sejak 2012 sememangnya kurang tidur pada waktu malam demi mengulang kaji pelajaran.

Menurutnya, kekurangan masa lapang kerana menyertai aktiviti kelab dan pasukan beruniform menyebabkan mereka menggunakan waktu malam untuk mentelaah selain turut mengorbankan cuti hujung minggu bagi mengulang kaji secara berkumpulan.

“Alam pengajian di universiti tidak sama seperti alam persekolahan. Di sekolah, guru membimbing pelajar menghadapi peperiksaan. Di sini, kita perlu rancang sendiri pengurusan masa dan perlu diatur dengan bijak supaya tiada masa terluang disia-siakan,” katanya

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 26 Mei 2015 @ 10:45 AM