PEPERIKSAAN SPM adalah peperiksaan terbesar dan terpenting memandangkan ia menjadi pengukur dan syarat utama dalam beberapa kriteria pengambilan pelajar serta pekerja. FOTO Arkib NSTP
PEPERIKSAAN SPM adalah peperiksaan terbesar dan terpenting memandangkan ia menjadi pengukur dan syarat utama dalam beberapa kriteria pengambilan pelajar serta pekerja. FOTO Arkib NSTP
Dr Nor Hazrul Mohd Salleh

Dalam beberapa hari lagi calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) akan menduduki peperiksaan bertulis. Peperiksaan SPM adalah peperiksaan terbesar dan terpenting memandangkan ia menjadi pengukur dan syarat utama dalam beberapa kriteria pengambilan pelajar serta pekerja.

Oleh itu, sebagai calon yang cakna, pastinya membuat persediaan secukupnya begitu juga ibu bapa serta ahli keluarga mestilah memainkan peranan penting. Mereka sepatutnya mendapat perhatian yang besar daripada keluarga untuk berjaya dengan cemerlang. Pelajar cemerlang biasanya bermula dengan membuat perancangan strategik terutama jadual belajar yang berkesan. Mereka juga meletakkan matlamat berfokus dan realistik. Fokus dan belajar dengan penuh dedikasi serta memberikan konsentrasi sepenuhnya dalam kelas sejak awal sesi pembelajaran. Begitu juga dengan penekanan kepada nota umum dan nota ringkas. Seterusnya, mencari bahan pembelajaran sesuai dengan keperluan semasa.

Contohnya, keperluan sekarang kepada bahan secara online dan digital. Pada pertengahan sesi pengajian pula sepatutnya pelajar telah fokus kepada latihan dan soalan pengukuhan agar dapat mengulang kaji dari awal dan tidak menunggu hingga saat akhir untuk mengulang kaji. Amalan menjawab soalan peperiksaan bagi tahun lalu sangat baik sebagai persediaan kepada peperiksaan sebenar. Daripada situlah pelajar dapat membiasakan diri dengan bentuk soalan dalam peperiksaan sebenar. Ia akan memahirkan mereka dengan selok-belok soalan peperiksaan.

Selain perkara berkaitan pembelajaran, persediaan diri secara fizikal dan mental juga sangat penting. Kesihatan perlu diutamakan agar pelajar sentiasa berada dalam keadaan terbaik untuk belajar. Perkara utama ialah supaya dapat memberikan kerehatan secukupnya setelah seharian belajar serta mengulang kaji pelajaran. Amalkan gaya hidup sihat dengan makan makanan berkhasiat dan seimbang serta mengamalkan riadah. Kesihatan yang baik akan menjamin pembelajaran dapat diikuti dengan baik dan penuh perhatian. Apabila menghampiri peperiksaan sepatutnya pelajar menumpukan sepenuh perhatian kepada peperiksaan yang bakal dihadapi.

Pada masa ini, hindari perkara yang boleh mengalih perhatian daripada matlamat dan fokus pelajaran. Fokuskan untuk mengulang kaji dan memantapkan hafazan serta kemahiran untuk menjawab mengikut teknik dan kaedah yang dipelajari. Perlu mengawal emosi dan stres yang mungkin timbul kerana terlalu fokus terhadap pelajaran.

Usaha terakhir ialah berserah (tawakal) dan mendekatkan diri kepada Allah. Lakukan solat hajat dan berdoa sepenuh hati kepada Allah SWT. Masa yang sangat penting ialah apabila menghampiri waktu peperiksaan. Saat akhir adalah peluang menambah kefahaman dan meningkatkan prestasi. Dengan merancang dan melaksanakan langkah berkesan, pelajar dapat menghadapi SPM dengan lebih yakin serta bersedia. Di samping itu, sumbangan keluarga memainkan peranan signifikan dalam membantu pelajar mencapai kejayaan cemerlang.

Keluarga memainkan peranan dalam kejayaan dan kecemerlangan anak belajar. Oleh itu, ibu bapa secara khusus mestilah memastikan peranan yang sepatutnya sama ada sebelum atau semasa anak menghadapi peperikaan.

Antara paling penting ialah memberikan sokongan moral yang berterusan. Ini sangat penting untuk menjamin anak sentiasa berada dalam situasi emosi yang stabil dan positif.

Ibu bapa dan ahli keluarga yang lain sepatutnya memahami cabaran dan situasi yang sedang mereka lalui. Hakikatnya pelajar mempunyai tahap pencapaian dan kebolehan berbeza. Sama ada berbanding rakan yang lain ataupun antara ahli keluarga sendiri. Bagaimanapun, mereka perlukan sokongan dan dorongan daripada ahli keluarga untuk terus berusaha dan melalui waktu yang sangat mencabar seperti waktu peperiksaan. Ia akan meniupkan semangat belajar dan menerapkan semangat positif.

Ahli keluarga terutama ibu bapa mesti memberikan pandangan dan membantu sekiranya ada apa-apa masalah atau konflik yang dihadapi oleh anak mereka. Mereka juga sepatutnya terlibat dalam pengawasan pembelajaran dan memberikan bimbingan. Walaupun calon SPM bergelut dengan kesuntukan masa pada saat-saat akhir, tetapi mereka sepatutnya terlibat dengan aktiviti bersama keluarga. Ibu bapa mestilah menjadualkan masa berkualiti bersama keluarga tanpa gangguan perkara lain.

Dengan itu, secara tidak langsung anak akan melibatkan diri dalam aktiviti keluarga untuk mengeratkan hubungan silaturahim. Ibu bapa juga seharusnya mengekalkan komunikasi terbuka mengenai prestasi akademik dan perkembangan pelajar. Cubalah berkomunikasi dengan guru dan pihak sekolah untuk memahami kemajuan pelajar.

Antara perkara yang tidak kurang pentingnya juga ialah sumber rujukan dan bahan pembelajaran yang efektif. Ibu bapa boleh membantu anak mereka dengan menyediakan sumber bacaan dan rujukan yang sesuai di samping menyediakan tempat pembelajaran yang kondusif. Pada masa sama, ibu bapa perlu mengetahui minat dan kecenderungan anak mereka dalam pembelajaran.

Mereka perlu didorong dan disokong untuk memenuhi minat dan mencapai cita-cita. Bahkan, mereka juga perlu didorong untuk memgembangkan minat dan kemahiran di luar daripada kurikulum mereka.

Penulis Penyelaras Program Khas Bahasa Arab, Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya (UM), Pusat Pendidikan Universiti Malaya (UM), Bachok, Kelantan

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 26 January 2024 @ 7:00 AM