Kuala Terengganu: Seorang lelaki dijatuhi hukuman penjara lima bulan dan denda RM1,000 oleh Mahkamah Majistret di sini, semalam, atas kesalahan menceroboh rumah milik seorang pegawai syariah.

Ahmad Hairi Che Rizuan, 20, dari Kampung Bukit Tunggal di sini, turut berdepan hukuman penjara satu bulan lagi jika dia gagal menjelaskan denda ditetapkan.

Keputusan itu dibuat Majistret Rozianti Mohamed Hanaphi selepas Ahmad Hairi mengaku salah terhadap pertuduhan dibacakan mengikut Seksyen 453 Kanun Keseksaan kerana menceroboh rumah dengan bersembunyi atau bagi pecah rumah.

Mengikut pertuduhan, Ahmad Hairi didakwa melakukan pencerobohan rumah dengan bersembunyi atau pecah rumah milik Muhamad Khasmizan Abdullah, 32, di Kampung Bukit Tunggal di sini, antara jam 8 malam hingga 7 malam pada 27 dan 28 November 2014.

Pendakwaan kes berkenaan dijalankan Pegawai Pendakwa Polis Asisten Superintendan L Rathna.

Mengikut fakta kes, mangsa meninggalkan rumahnya dalam keadaan berkunci kira-kira jam 8 malam pada 27 November 2014.

Bagaimanapun, mangsa yang pulang ke rumah sewanya kira-kira jam 7 malam pada 28 November 2014 mendapati rumahnya berselerak.

Hasil pemeriksaan, mangsa mendapati tiga keping cermin tingkap bahagian hadapan sudah dialihkan dari tempat asal dan diletakkan di atas tanah.

Pemeriksaan juga mendapati dua keping tingkap di bilik tidurnya juga sudah dialih, tetapi pemeriksaan lanjut mendapati tiada barang di rumahnya yang hilang.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 25 Mei 2015 @ 8:15 AM