ANGGOTA forensik memeriksa kereta peniaga emas yang disamun.
ANGGOTA forensik memeriksa kereta peniaga emas yang disamun.
Oleh Asmah Rusman

Petaling Jaya: “Mereka (perompak) paksa saya buka but kereta sebelum melarikan dua beg berisi pelbagai barang kemas seperti cincin, rantai leher, gelang dan subang bernilai lebih RM800,000,” kata seorang pemilik syarikat pemborong emas berusia 52 tahun.

Dalam kejadian jam 11.20 pagi semalam, mangsa mendakwa baru meletakkan kereta model Toyota Altis di hadapan premis syarikatnya di Jalan PJS3/34, Taman Sri Manja di sini.

Mangsa bersama pembantunya bagaimanapun diserang tiga perompak bertopeng yang dipercayai mengekori mangsa yang membeli emas itu di Pulau Pinang.

“Perompak yang menaiki kereta Toyota Camry memecahkan cermin sisi bahagian penumpang hadapan menggunakan parang.

“Seorang daripada mereka ke tempat duduk saya di bahagian pemandu dan merampas kunci kereta selain mengarahkan saya membuka but kenderaan,” katanya.

Menurutnya, seorang lagi rakan suspek menunggu di belakang kenderaan untuk mengambil dua beg bimbit berisi barang kemas yang disimpan sebelum melarikan diri.

Sementara itu Timbalan Ketua Polis Petaling Jaya Superintendan Fadil Marsus mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian itu menerusi panggilan kecemasan daripada mangsa.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 27 Disember 2014 @ 9:50 PM