Johor Bahru: Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Skudai di sini, optimis dapat mengukuhkan kedudukannya dalam senarai pusat pengajian terbaik dunia menerusi memorandum persefahaman (MoU) ditandatangani bersama 12 universiti dari dalam dan luar negara.

MoU selama lima tahun itu dimeterai sempena Forum Inovasi dan Keusahawanan dalam Pembangunan Negara kali ke-7, semalam.

Lapan universiti terbabit adalah Sheffield Hallam University, United Kingdom; Ladoke Akintola University of Technology, Nigeria; Majlis Pendidikan Tinggi Muhammadiyah, Indonesia; Yamaguchi University, Jepun; Universiti Bina Darma, Indonesia; HITEC University Taxila, Pakistan; Singapapore-ETH Centre dan Universitas Islam Negeri Wali Songo Semarang, Indonesia.

Empat universiti tempatan terbabit adalah Universiti Tun Hussein Onn Malaysia, Universiti Teknikal Malaysia Melaka, Universiti Malaysia Pahang dan Universiti Pertahanan Nasional Malaysia.

Naib Canselor UTM Prof Datuk Ir Dr Wahid Omar berkata, kerjasama itu diharap menjadi platform kedua-dua pihak berkongsi pengalaman dan kepakaran dalam bidang masing-masing untuk jangka panjang.

“Setakat ini, UTM berada di kedudukan 294 dalam senarai universiti terbaik dunia dan pencapaian itu lebih baik berbanding rekod terdahulu yang meletakkan kita di tangga ke-355.

“Kedudukan itu menjadikan UTM di kelompok satu peratus dalam senarai universiti terbaik dunia dan kerjasama dengan universiti luar perlu diperbanyakkan kerana ia menjadi penanda aras bagi pencapaian untuk tempoh akan datang,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyempurnakan program berkenaan yang berlangsung di Dewan Banquet UTM, Bangunan Canselori Sultan Ibrahim, UTM Skudai, di sini.

Menurut Wahid, beberapa bentuk kerjasama akan dilakukan menerusi MoU berkenaan dan beliau percaya ia bakal membuka ruang dan peluang kedua-dua pihak melangkah jauh ke hadapan.

“MoU ini bakal menyaksikan pengambilan pelajar pasca siswazah dari universiti antarabangsa, pertukaran pensyarah serta kerjasama dalam penyelidikan.

“Ia satu peluang yang baik untuk kita dan mengenai pemilihan universiti, pusat pengajian dari Indonesia misalnya tersenarai kerana mempunyai pasaran baik dalam negara Asean,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 Mei 2015 @ 5:00 AM