ROMBONGAN UMS dan Cankiri Karatekin University bergambar bersama selepas  menandatangani MoU.
ROMBONGAN UMS dan Cankiri Karatekin University bergambar bersama selepas menandatangani MoU.
Suliati Asri


UNIVERSITI Malaysia Sabah (UMS) menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Cankiri Karatekin University, Turki membabitkan penajaan program mobiliti bernilai RM125,000.

Naib Canselor UMS, Profesor Datuk ChM Ts Dr Taufiq Yap Yun Hin berkata, jumlah tajaan di bawah geran Erasmus itu membabitkan mobiliti pelajar, penyelidik dan kakitangan pentadbiran antara kedua-dua universiti itu.

"Tiga pelajar UMS akan berada di Cankiri Karatekin University selama satu semester, manakala enam ahli akademik dan staf pentadbiran UMS mengajar dan menjalani latihan selama lima hari di sini.

"Pihak Cankiri Karatekin University pula menghantar 10 ahli akademik untuk mengajar dan berkongsi ilmu di UMS," katanya selepas selesai majlis memdatangani Mou di Cankiri Karatekin University, Turki, Jumaat lalu.

Perjanjian berkenaan ditandatangani Dr Taufiq, manakala Cankiri diwakili Rektor, Profesor Dr Harun Çiftçi.

Ia disaksikan Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) UMS, Profesor Dr Rasid Mail dan Timbalan Rector Cankiri Karatekin University, Profesor Dr Hüseyin Odabas.

Turut hadir, Dekan Fakulti Perniagaan, Ekonomi dan Perakaunan (FPEP) UMS, Profesor Madya Dr Mohd Rahimie Abd Karim; Ketua Pejabat Hubungan Antarabangsa Cankiri, Dr Suayip Turan dan Timbalan Pengarah PPPG, Profesor Madya Dr Wardatul Akmam Din.

Dr Taufiq berkata, penajaan program mobiliti dalam perjanjian MoU itu diperoleh pihak Cankiri Karatekin University di bawah geran Erasmus untuk tahun ini.

"Perjanjian kerjasama ini diharapkan menjadi pemangkin kepada jalinan kolaborasi yang lebih meluas pada masa akan datang terutama dalam aspek penyelidikan dan penerbitan.

"Semoga kerjasama ini juga akan meningkatkan keterlihatan jenama UMS, termasuk mendapatkan pasaran baharu daripada negara Turki selain dapat meningkatkan kualiti dan kuantiti program mobiliti 'inbound' dan 'outbound' universiti," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 27 Jun 2022 @ 6:07 AM