AHMAD Fauzi (tiga kanan) menunjukkan MoU. FOTO Nurul Amanina Suhaini
AHMAD Fauzi (tiga kanan) menunjukkan MoU. FOTO Nurul Amanina Suhaini
Nurul Amanina Suhaini


Johor Bahru: Universiti Teknologi Malaysia (UTM) menandatangani memorandum persefahaman (MoU) bersama Universitas Indonesia (UI) bagi memperbaharui kerjasama khususnya penyelidikan dan pembelajaran dalam bidang sains dan kejuruteraan.

Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Prof Datuk Dr Ahmad Fauzi Ismail berkata, kerjasama yang diadakan secara dalam talian itu juga bagi meningkatkan kerjasama selepas terjalinnya hubungan yang baik sejak 2014.

Katanya, kerjasama UTM dengan Indonesia sudah bermula ketika UTM masih dikenali sebagai Institut Teknologi Kebangsaan pada awal 1970-an, yang mana UTM dibantu oleh pensyarah yang didatangkan daripada Indonesia, selain ketika ini, lebih 600 mahasiswa dari Indonesia melanjutkan pengajian di UTM peringkat siswazah dan pasca siswazah.

"Setelah MoU ditandatangani pada 2014, tahun ini kedua-dua universiti bersetuju bekerjasama lebih erat dalam penyelidikan dan pembangunan, selain meningkatkan program pertukaran staf dan pelajar.

"Ia merangkumi lawatan sambil belajar, menjalankan penyelidikan dan/atau menyelia projek pelajar, program kerjasama seminar, kolokium dan perbincangan akademik.

"Sejak 2008, UTM dan UI aktif mengadakan persidangan bersama dalam bidang termofluid 'The International Meeting on Advances in Thermofluids (IMAT)' yang pertama kali diadakan di UTM Johor Bahru dan terakhir di Bali, Indonesia, pada 2018," katanya berucap pada Majlis Menandatangani MoU berkenaan di Bangunan Canseleri Sultan Ibrahim, UTM, di sini, hari ini.

Hadir sama, Pro-Naib Canselor (Antarabangsa), Prof Madya Dr Mohd Ismid Md Said.

Ahmad Fauzi berkata, perbincangan itu turut diadakan antara Institut Penyelidikan Sains dan Industri Ibnu Sina, UTM dengan Fakultas Kesehatan Masyarakat, UI, bagi membincangkan kerjasama antara UTM dengan Ul dalam bidang analisis data raya.

Katanya, pihaknya berharap kerjasama itu kelak dapat diperluas dan dikembangkan dalam pelbagai bidang yang lain, selain tidak terhad kepada kerjasama sedia ada.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 23 Disember 2020 @ 1:36 PM