PESERTA  mendeklamasi sajak dengan penuh bersemangat.
PESERTA mendeklamasi sajak dengan penuh bersemangat.
Suliati Asri


PERJUANGAN memartabatkan bahasa Melayu dan warisan tulisan Jawi bukan hanya perjuangan satu pihak.

Menyedari hakikat bahawa ia usaha pelbagai pihak, Kelab Debat, Pidato dan Pemikiran Kritis (Depikir) Universiti Teknologi Malaysia (UTM) mengadakan Sayembara Bahasa Melayu 2021 peringkat antarabangsa secara dalam talian bagi mengangkat dan melestarikan bahasa Melayu dan warisan budaya tulisan Jawi.

Sayembara Bahasa Melayu 2021 mempertandingkan empat pertandingan iaitu pidato, mendeklamasi sajak, penulisan esei Jawi dan penulisan esei Rumi.

Setiap pertandingan terbuka kepada empat kategori iaitu pelajar sekolah menengah atas dan matrikulasi, mahasiswa Malaysia, Nusantara (Singapura, Brunei dan Indonesia) serta antarabangsa.

Seramai 1,169 penyertaan diterima untuk merebut 136 hadiah yang ditawarkan untuk 14 kategori yang dipertandingkan.

Sayembara Bahasa Melayu 2021 itu turut membabitkan 40 panel hakim terdiri daripada pelbagai organisasi di dalam dan luar UTM (kampus Johor Bahru) dalam menilai serta menentukan pemenang setiap 14 kategori.

Program ini juga adalah kerjasama dengan pelbagai pihak iaitu Kementerian Pengajian Tinggi (KPT), Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), Yayasan Raja Zarith Sofiah (YRZS), UTM, Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB), Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Institut Terjemahan dan Buku Malaysia (ITBM), Persatuan Penyair Malaysia dan Majlis Debat Universiti Malaysia (Madum).

Malah, program ini juga mendapat sokongan penuh daripada Jabatan Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar) UTM.

Setiausaha Sayembara Bahasa Melayu 2021, Muhammad Nur Hakimi Che Pa berkata, usaha mengangkat dan melestarikan bahasa Melayu dan warisan tulisan Jawi adalah cabaran masa kini.

Menurutnya, masyarakat khususnya pelajar dan mahasiswa perlu sentiasa cakna dengan perkembangan bahasa.

ANTARA penonton yang menyaksikan Sayembara Bahasa Melayu 2021 mengangkat Bahasa & Warisan Budaya.
ANTARA penonton yang menyaksikan Sayembara Bahasa Melayu 2021 mengangkat Bahasa & Warisan Budaya.

"Golongan pendidik bukan hanya mempersiapkan mahasiswa dengan kemahiran insaniah yang lengkap, kecemerlangan akademik, tetapi nilai budaya yang tinggi dalam diri pelajar dan mahasiswa.

"Maka atas hasrat mengangkat dan melestarikan bahasa Melayu serta warisan tulisan Jawi dalam diri mahasiswa melalui pengucapan awam dan penulisan esei, Sayembara Bahasa Melayu 2021 berjaya menyediakan platform kepada mereka untuk mempraktikkan warisan bangsa supaya ia tidak lekang dek panas tidak lapuk dek hujan dan kekal malar segar," katanya.

Tema setiap kategori yang diberikan akan disampaikan dalam seni pengucapan awam atau gaya penyampaian bertulis yang menarik perhatian panel hakim dan penonton.

Menurut Muhammad Nur Hakimi, mereka yang mahir menyampaikan ucapan dengan berkesan melalui pengucapan awam atau penulisan mempunyai kelebihan ke arah memiliki kriteria sebagai pemimpin pelapis yang layak menerajui kepemimpinan sesebuah negara atau organisasi suatu hari nanti.

"Justeru, pertandingan sebegini adalah satu medan terbaik di universiti sebagai ruang persediaan kepada mahasiswa menggilap potensi berhujah secara berhemah,' katanya.

Sayembara Bahasa Melayu 2021 ini juga adalah pertandingan yang julung-julung kalinya.

Presiden kelab Depikir merangkap pengarah program, Muhammad Adhar Zorobi berkata, norma baharu ini bukan penghalang yang akan menghentikan usaha memperjuangkan bahasa Melayu dan tulisan Jawi.

Sebaliknya kata Muhammad Adhar, ia adalah batu loncatan dengan mengambil peluang keemasan dan kesempatan norma baharu ini untuk mengadakan pertandingan peringkat antarabangsa.

"Menerusi pertandingan ini juga, memperlihatkan kemunculan bakat kepimpinan dan paling membanggakan ia diadakan di peringkat antarabangsa.

"Bahasa Melayu sudah tersebar luas ke seluruh pelosok dunia dengan tertubuhnya Kursi Pengajian Melayu Wilayah Eropah. Semoga usaha memperkasakan bahasa Melayu merentas sempadan tidak padam dan semangatnya sentiasa mekar," katanya.

Pertandingan ini juga disertai peserta dari Universiti Al-Azhar, Mesir; Jordan World Islamic Science and Education, Jordan; Guangdong Foreign Studies University (GFSU), China; Sichuan International Studies University, China; Universiti Bangsa-Bangsa Guangxi, China; Nanyang Technology Singapore, Singapura; Universitas Maritim Raja Ali Haji, Indonesia; Universitas Seni Indonesia Yogyakarta, Indonesia; Universitas Jambi, Indonesia; Universitas Negeri Semarang dan Universitas Indonesia, Indonesia.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 31 Mei 2021 @ 6:41 AM