SAZALI melihat keadaan  Ramadhani  di rumahnya di Krubong, kelmarin.
SAZALI melihat keadaan Ramadhani di rumahnya di Krubong, kelmarin.
Oleh Nor Shafinaz Sari


Melaka: Sekuat mana seorang lelaki, segagah mana seorang bapa menahan titisan air mata, pasti tidak ada yang sanggup memandang sepi penderitaan dihadapi anaknya sendiri.

Begitulah situasi dihadapi Hashim Latiff, 51, apabila anak angkat dijaganya murid tahun dua Sekolah Kebangsaan Krubong, di sini, menderita penyakit di bahagian perutnya sejak dilahirkan.

Mohd Ramadhani Abdullah, 8, akan berdepan situasi perut mengeras apabila demam selain tiada selera makan sehingga menyebabkan berat badannya kini hanya kira-kira 14 kilogram.

Walaupun sudah menjalani pemeriksaan bersama doktor pakar, penyakit pelik dihadapi oleh Ramadhani tidak dapat dikesan.

Hashim berkata, dia menjaga Ramadhani yang sebelum ini dijaga ibunya, Julina Ismail, 38, yang kurang waras, sehingga menyebabkan kanak-kanak itu tidak terurus malah tidak dihantar bersekolah selepas memasuki usia tujuh tahun.

Menurutnya, melihatkan keadaan itu, dia mengambil inisiatif menjaga Ramadhani sebagai anak angkat sejak Disember lalu untuk memastikan kanak-kanak itu terjaga.

“Keadaan dia sangat menyedihkan dan saya bersimpati melihat dirinya yang tidak terurus, tidak bersekolah dan paling kasihan melihat keadaan diri dia yang sakit.

“Saya membawanya menjalani pemeriksaan pakar di Hospital Alor Gajah tahun lalu, namun doktor mengatakan keadaan kesihatannya baik saja,” katanya ketika menerima kunjungan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paya Rumput Datuk Sazali Muhd Din di kediamannya di Krubong, kelmarin.

Hashim berkata, perasaan bimbang masih menghantui mereka apabila melihat keadaan perutnya yang tidak diketahui jenis penyakit dan rawatan diperlukan.

“Saya sangat bimbang setiap kali perutnya mengeras, dia akan akan mengerang kesakitan dan saya tidak sanggup melihatnya.

“Disebabkan masalah yang dihadapinya itu, dia tidak boleh aktif bermain seperti kanak-kanak lain,” katanya.

Menurut Hashim, dia tidak mampu menghantar kanak-kanak berkenaan ke hospital swasta kerana keadaan kewangan yang terbatas sebaliknya mengharapkan jika ada doktor pakar tampil membantu untuk memberi rawatan.

“Saya hanya bekerja kampung dan mempunyai tujuh orang anak kandung, jadi saya hanya boleh mengharapkan bantuan daripada pihak-pihak yang berkenaan untuk membantu.

Isterinya Norazam Ariffih, 49, menyifatkan Mohd Ramadhani amat pintar dan terang hati kerana biarpun hanya bersekolah sejak Januari lalu, namun dia sudah bijak menghafal pelbagai jenis doa.

Sementara itu, Sazali berkata, pihaknya akan memberi perhatian kepada kanak-kanak terbabit.

Orang ramai yang ingin menghulurkan bantuan boleh berbuat demikian ke akaun milik Hashim, Bank BSN 04401-41-00003244-3.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 29 April 2015 @ 8:08 AM