Nur Saliawati Salberi


BAPA kepada tiga anak yang menderita akibat kanser hati tahap empat sejak lebih setahun lalu menghembuskan nafas terakhirnya kira-kira 2 pagi tadi di sisi ahli keluarga terdekat di rumahnya di Projek Perumah Rakyat (PPR) Krubong, Melaka Tengah, Melaka.

Kamarudin Ramli, 37, disahkan menghidap kanser hati pada 2016 sebelum hati sebelah kanannya terpaksa dibuang pada Jun tahun sama.

Isterinya, Norsuraya Khalil, 32, berkata, pada Rabu suaminya tiba-tiba mengalami sesak nafas dan sukar bernafas menyebabkan dia dikejarkan ke Hospital Melaka sebelum ditahan selama dua hari untuk rawatan lanjut.

"Ketika ditahan di hospital, doktor mengambil keputusan untuk menebuk bahagian perutnya untuk mengeluarkan air bisa kerana keadaan perutnya yang sudah kembung dan keras.

"Bagaimanapun selepas kali kedua perutnya ditebuk keadaannya mula lemah menyebabkan kami ahli keluarga membuat keputusan untuk membawanya balik ke rumah malam kelmarin serta mengadakan bacaan Yasin," katanya ketika ditemui selepas pengebumian di Tanah Perkuburan Islam Kampung Tampoi, di Melaka, hari ini.

NORSURAYA (dua kanan) ditenangkan ahli keluarga selepas pengebumian arwah suaminya. FOTO Khairunisah Lokman
NORSURAYA (dua kanan) ditenangkan ahli keluarga selepas pengebumian arwah suaminya. FOTO Khairunisah Lokman

Ibu kepada tiga anak itu berkata, arwah suaminya ada meluahkan rasa hiba dan sedih apabila ramai pihak dan individu tidak dikenali tampil membantu mereka selepas kisah keluarganya keluar di media.

Katanya, walaupun masih terkejut dengan pemergian suaminya namun dia redha selain bersyukur dan berterima kasih kepada pihak yang menghulurkan bantuan dalam mempersiapkan persiapan persekolah anaknya masing-masing berusia 13, 12 dan tujuh tahun.

Berita berkaitan:

Sayu tak dapat bantu isteri [METROTV]

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 7 January 2018 @ 2:30 PM