ANTARA simpanan yang ditawarkan di PNB.
ANTARA simpanan yang ditawarkan di PNB.
Oleh Hafiz Ithnin


Minggu lalu, bahang isu Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) nampaknya menjadi perbualan hangat dalam kalangan orang ramai apabila institusi itu bercadang untuk memperkenalkan had pengeluaran baru caruman dari usia 55 tahun ketika ini kepada 60 tahun.

Cadangan itu yang diumumkan oleh Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Shahril Ridza Ridzuan pada 21 April lalu bersama tiga cadangan baru boleh dikatakan mendapat pelbagai reaksi daripada ahli yang juga pencarum KWSP memandangkan ada yang mengatakan tempoh pengeluaran untuk ke usia 60 tahun itu terlalu lama.

Isu mengapa cadangan itu diumumkan ialah berikutan terdapat ahli KWSP tidak mempunyai simpanan wang yang mencukupi untuk menampung tempoh persaraan mereka. Tambahan, jangka hayat rakyat Malaysia juga kian meningkat kepada 75 tahun.

Mengikut statistik KWSP, 78 peratus ahli aktif yang berusia 54 tahun tidak mencapai simpanan asas mereka iaitu RM196,800 dan 68 peratus ahli KWSP berusia 54 tahun mempunyai simpanan kurang daripada RM50,000.

Menurut KWSP, jika kita mengambil paras garis kemiskinan RM800 sebagai perbelanjaan bulanan, RM50,000 ini hanya bertahan selama lebih kurang lima tahun sahaja.

Katanya, walhal tempoh persaraan dijangka adalah selama 20 tahun iaitu dari umur 55 tahun hingga ke 75 tahun. Ini bermakna ramai daripadapesara yang tidak akan mampu untuk menjalani kehidupan dengan selesa.

Bagaimanapun, selepas tiga hari cadangan itu dikemukakan, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mengumumkan bahawa had pengeluaran kekal pada usia 55 tahun, namun KWSP masih meneruskan kajian mendapatkan maklum balas dalam kalangan pencarum sehingga 5 Mei ini menerusi laman web badan yang disediakan.

Antara perkara popular yang dilakukan ahli KWSP selepas pengeluaran wang itu adalah untuk membayar lebihan pembiayaan perumahan bagi membolehkan pencarum berasa lebih lega untuk meneruskan kehidupan dalam tempoh persaraan memandangkan hutang rumah boleh dikatakan penyumbang terbesar dalam komitmen bulanan individu.

Tambahan, umur persaraan yang ditingkat kepada usia 60 tahun membolehkan ahli melunaskan pembiayaan perumahan sebelum tempoh bersara, sekali gus mengurangkan komitmen pembayaran pembiayaan keseluruhan bulanan.

Jika hendak dibincangkan antara rasional KWSP mencadangkan perkara itu dan maklum balas orang ramai mengenainya sememangnya sukar untuk dimuktamadkan kata akhirnya.

Tetapi perkara pokoknya adalah mengenai simpanan sama ada mencukupi atau tidak untuk ahli KWSP menampung kos hidup ketika persaraan yang mana antara perkara yang perlu diambil kira adalah pembiayaan kos kesihatan serta kos sara hidup kini yang semakin meningkat.

Sebenarnya, tabungan ketika seseorang individu itu masih bekerja adalah amat penting. KWSP adalah satu bentuk tabungan secara automatik apabila seseorang itu memulakan karier pekerjaan dalam sektor swasta.

Persoalannya adakah hanya KWSP sahaja yang menjadi tabungan utama kita? Penulis rasakan sekiranya menjadikan KWSP sebagai satu sandaran utama kewangan adalah sesuatu yang kurang bijak kerana pada hari ini terdapat pelbagai produk tabungan atau pelaburan yang boleh disertai oleh orang ramai untuk jangka masa panjang.

Antaranya unit amanah yang tiada tempoh had pengeluaran serta menawarkan dividen antara 10 hingga 15 peratus setahun dan kita juga ada produk pelaburan yang begitu popular seperti Amanah Saham Bumiputera (ASB) yang diuruskan oleh Permodalan Nasional Berhad (PNB) menawarkan pulangan dividen secara konsisten setiap tahun.

Menerusi suntikan modal di dalam tabung pelaburan yang selamat seperti ini, kita tidak perlu memikirkan untuk mengetahui risiko dagangan dan pelbagai perkara dalam dagangan yang merumitkan. Apa yang perlu adalah hanya melabur dan menunggu dividen.

Perkara ini sangat membantu untuk meningkatkan tabung persaraan orang ramai pada masa depan yang tidak hanya bergantung kepada tabungan KWSP sahaja.

Dalam masa sama, merancang cara hidup selepas persaraan juga adalah penting bagi memastikan wang yang ada mencukupi untuk cara hidup yang kita inginkan dalam tempoh berkenaan.

Misalnya, ada yang memilih bersara untuk hidup di kampung menikmati cara hidup sederhana dan jauh dari kawasan bandaraya yang tinggi kos sara hidupnya. Maka, mungkin RM800 hingga RM1,000 sebulan sudah memadai.

Tetapi, jika seseorang itu mempunyai cita rasa sedikit tinggi, misalnya selepas bersara ingin merantau ke luar negara atau membuka perniagaan, maka simpanan mereka perlu berganda lebih tinggi daripada individu yang ingin hidup lebih santai di luar kawasan bandar.

Dua perkara ini, dilihat sebenarnya asas untuk kita meneruskan kehidupan dalam tempoh persaraan dan golongan muda terutamanya perlu menyusun strategi untuk berdepan dengan cabaran kewangan ketika usia persaraan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 27 April 2015 @ 7:05 AM