Oleh Sri Ayu Kartika Amri dan Hafiz Ithnin

Kuala Lumpur: Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mencadangkan dua pilihan pengeluaran wang caruman penuh ahli iaitu pengeluaran itu diselaraskan sepenuhnya pada usia 60 tahun pada 2031, bagi pilihan pertama.

Ketua Pegawai Eksekutif KWSP, Datuk Shahril Ridza Ridzuan berkata, pilihan kedua pula adalah pengeluaran penuh wang caruman itu boleh dikeluarkan seperti biasa pada umur 55 tahun.

Beliau berkata, sekiranya pencarum masih bekerja sehingga umur 60 tahun, wang caruman baru selepas 55 tahun itu akan dikunci dan dibenarkan untuk dikeluarkan sepenuhnya selepas 60 tahun.

Katanya, bagi cadangan pilihan pertama, pencarum yang terbabit bagi pengeluaran penuh wang caruman pada umur 60 tahun adalah bagi mereka yang kini berusia 43 tahun dan ke bawah.

“Dua pilihan pengeluaran penuh itu adalah di bawah cadangan rundingan inisiatif pertama daripada empat inisiatif yang diperkenalkan.

“Cadangan rundingan inisiatif ini akan dibuka kepada tinjauan maklum balas pencarum yang akan diperoleh dalam tempoh dua minggu bermula esok. Tinjauan maklum balas adalah melalui i-Akaun menerusi laman web KWSP, " katanya dalam sidang media di sini, hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 20 April 2015 @ 12:57 PM