Oleh Sri Ayu Kartika Amri

Kuala Lumpur: Cadangan empat penambahbaikan skim yang diumumkan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) memperlihatkan bahawa badan itu komited untuk memastikan setiap pencarum dapat meningkatkan simpanan persaraan mereka.

Simpanan pencarum di KWSP juga banyak membantu ahlinya untuk memiliki hartanah, melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi serta menampung perbelanjaan perubatan mereka menerusi pengeluaran simpanan akaun kedua.

Ketua Ekonomi Bank Islam Malaysia Berhad Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata, peranan simpanan di dalam KWSP yang bersifat mandatori ini banyak membantu ke arah kesejahteraan hidup pekerja.

Katanya, selain itu, penggunaan simpanan KWSP bagi tujuan pembelian rumah mempunyai kesan limpahan yang positif terhadap pasaran hartanah dan industri pembinaan serta sektor pembuatan yang berkaitan dengannya.

“Kesan limpahan ini sudah tentu akan merancakkan lagi pertumbuhan ekonomi negara. Di samping itu, wang caruman ini juga dilaburkan dalam pasaran ekuiti dan bon yang mampu menjana pulangan pelaburan yang baik, sesuai dengan tahap risiko yang diambil,” katanya.

Menurutnya, cadangan KWSP untuk menangani isu berkaitan ketidakcukupan simpanan persaraan dalam kalangan ahli KWSP dilihat bukan saja membantu ahli itu sendiri, tetapi turut merangsang ekonomi negara.

Beliau berkata, simpanan mandatori ini sedikit sebanyak dapat membantu ahli bagi menyediakan sejumlah wang yang besar bagi tujuan pembelian rumah dan transaksi pembelian rumah ini akan memberi kesan langsung terhadap sektor hartanah. Begitu juga pengeluaran bagi tujuan perubatan yang akan memberi limpahan yang positif kepada sektor kesihatan.

“Bagi pengeluaran pendidikan pula yang mana pencarum boleh melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi, sekali gus akan melahirkan pekerja mahir dalam negara kita. Oleh itu, akan terdapat banyak permintaan bagi kolej swasta, institutsi pengajian tinggi swasta dan awam berikutan kesan daripada pengeluaran pencarum bagi pendidikan,” katanya.

Mohd Afzanizam berkata, inisiatif penambahbaikan oleh KWSP ini belum dimuktamadkan, namun ia adalah sesuatu yang positif memandangkan cadangan ini bertujuan memastikan simpanan mencukupi semasa pencarum mencapai umur persaraan yang telahpun dinaikkan kepada 60 tahun.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 April 2015 @ 1:11 PM