ANTARA pusat hiburan yang diperiksa polis. FOTO ihsan polis
ANTARA pusat hiburan yang diperiksa polis. FOTO ihsan polis
Muhaamad Hafis Nawawi

Kuala Lumpur: Seramai 88 individu yang berkunjung ke lima pusat hiburan di daerah Dang Wangi, di sini, dikompaun RM1,000 kerana ingkar arahan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Mohamad Zainal Abdullah berkata, dalam operasi bermula 21 November hingga semalam, anggota Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi membuat pemeriksaan di lima premis membabitkan pemeriksaan terhadap 93 warga tempatan dan 77 warga asing.

Menurutnya, semakan mendapati premis mempunyai lesen hiburan yang sah dikeluarkan oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

"Dalam pemeriksaan itu, polis mengambil tindakan tegas kepada pengunjung yang mana 88 warga tempatan dikenakan kompaun mengikut Peraturan 11, Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit Pindaan) 2020.

"Seramai 10 warga asing ditahan mengikut Sekyen 6 (1) (c) Akta Imigresen 1959/63 kerana disyaki tiada memiliki dokumen perjalanan sah," katanya dalam satu kenyataan malam ini.

Mohamad Zainal berkata, seramai 67 warga asing pula ditahan mengikut Seksyen 56 (1) (l) Akta Imigresen 1959/63 kerana dokumen perjalanan dalam negeri disyaki palsu.

"Justeru, polis memberi amaran kepada orang ramai, warga asing dan pengusaha pusat hiburan supaya terus mematuhi PKPB," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 28 November 2020 @ 9:28 PM