BUAYA yang ditangkap di Sungai Sadong, Serian, semalam.
BUAYA yang ditangkap di Sungai Sadong, Serian, semalam.
Oleh Alias Abd Rani

Serian: Selepas hampir sebulan diburu, Perbadanan Perhutanan Sarawak serta polis menangkap tiga ekor buaya termasuk seekor yang pernah membaham seorang penduduk di Sungai Sadong, di sini, kelmarin.

Ketiga-tiga buaya jantan berukuran antara 3.8 hingga 5.2 meter itu ditangkap dalam operasi yang dijalankan sejak Sabtu lalu.

Jurucakap polis berkata, salah seekor buaya berukuran 5.2 meter yang ditangkap pada jam 1.35 petang, kelmarin, mempunyai kesan tetakan di kepala dan dipercayai membaham seorang penduduk, Yusman Yusup, 32, pada jam 5.40 petang, 26 Mac lalu.

“Buaya seberat 600 kilogram (kg) itu ditetak mangsa ketika cuba melepaskan diri daripada gigitan. Perkara itu disahkan seorang rakan mangsa yang kebetulan berada di lokasi kejadian.

“Operasi digerakkan pada Sabtu lalu dan kami berjaya menangkap seekor buaya jantan sepanjang 3.8 meter pada jam 2.51 petang hari terbabit. Buaya seberat kira-kira 420 kg itu ditangkap menggunakan kaedah cari dan musnah.

“Seekor lagi buaya seberat 500 kg ditangkap pada jam 7.55 pagi, semalam (kelmarin),” katanya.

Menurutnya, ketiga-tiga buaya itu kemudian dibunuh sebelum ditanam di sekitar kawasan sungai terbabit.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 15 April 2015 @ 8:48 AM