ANGGOTA bomba menangkap buaya di  ladang sawit di Samalaju, kelmarin.
ANGGOTA bomba menangkap buaya di ladang sawit di Samalaju, kelmarin.
HM Digital

Bintulu: Selepas bergelut hampir sejam, seekor buaya yang berkeliaran di kawasan ladang sawit di Samalaju, di sini, ditangkap sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bintulu, kelmarin.

Ketua Operasi BBP Bintulu Stephen Plen berkata, kehadiran reptilia itu di kawasan berkenaan dimaklumkan pekerja ladang jam 4 petang.

Menurutnya, sebaik tiba jam 4.20 petang, pasukan bomba menemui buaya sepanjang 4.2 meter berdekatan kolam yang terletak 600 meter dari ladang kelapa sawit berkenaan.

Katanya, buaya berkenaan dalam keadaan agresif dan melibas ekor apabila cuba dihampiri.

“Kami membiarkan buaya berkenaan seketika untuk menenangkan reptilia itu sebelum operasi menangkapnya dilaksanakan.

“Kami bergelut sejam sebelum menangkap buaya itu dengan memasang tali bagi menjerut kepala buaya berkenaan, kemudian menutup bahagian kepala dengan kain,” katanya.

Stephen berkata, buaya seberat 500 kilogram itu dipercayai mencari lokasi sesuai untuk bertelur di kawasan itu.

“Buaya itu diserahkan kepada Jabatan Hutan Sarawak Bahagian Bintulu untuk tindakan lanjut,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 4 November 2017 @ 9:57 AM