Putrajaya: Trend kes denggi di seluruh negara menurun dengan ketara sejak pertengahan Februari lalu, dengan jumlah kes yang dilaporkan berkurangan setiap minggu iaitu purata daripada 3,500 kes seminggu pada Januari kepada 1,600 kes pada awal April.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr S Subramaniam berkata, pada minggu ke-13 tahun ini iaitu bagi tempoh 29 Mac hingga 4 April lalu, sebanyak 1,609 kes dilaporkan berbanding 1,645 kes pada minggu sebelumnya iaitu penurunan sebanyak dua peratus atau 36 kes.

Katanya, jumlah lokaliti wabak juga berkurang dari 1,131 lokaliti pada akhir Januari lalu kepada hanya 615 lokaliti pada awal April iaitu pengurangan sebanyak 46 peratus.

“Jumlah lokasi panas juga berkurang iaitu dari 248 kepada 139 pada awal April dengan pengurangan sebanyak 44 peratus.

“Pengurangan purata kes mingguan denggi dari Januari hingga awal April melebihi 50 peratus adalah hasil kejayaan tindakan bersepadu Kementerian Kesihatan dengan pelbagai kementerian, agensi serta komitmen masyarakat dalam melaksanakan aktiviti pencegahan,” katanya pada sidang media di sini, semalam.

Bagaimanapun, Dr Subramaniam berkata, jumlah kumulatif kes denggi dari Januari hingga 4 April lalu menunjukkan sebanyak 34,144 kes direkodkan berbanding 25,098 kes pada tempoh sama tahun lalu iaitu peningkatan 36 peratus atau 9,046 kes.

Pada masa sama, katanya, sebanyak 108 kematian dilaporkan berbanding 62 kematian berbanding tempoh sama tahun lalu iaitu peningkatan sebanyak 74 peratus atau 46 kematian.

Dalam pada itu, Dr Subramaniam berkata, peranan Jawatankuasa Peringkat Kebangsaan Mengenai Denggi dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dapat memastikan Pelan Tindakan Bersepadu Untuk Denggi dilaksanakan pelbagai kementerian dan agensi.

“Pelbagai aktiviti dijalankan dan kaedah baru dilaksanakan seperti Semburan Residual Spray (ORS), sekali gus memberi keberkesanan dalam usaha memerangi denggi.

“Malah, kerajaan negeri turut melaksanakan kempen dan gotong-royong di peringkat negeri dalam membanteras denggi,” katanya.

Beliau berkata, aktiviti penguatkuasaan bersepadu antara Kementerian Kesihatan, Lembaga Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) dan Jabatan Keselamatan dan Pekerjaan iaitu melalui Ops Gempur Aedes dilaksanakan di tapak binaan bermula 10 Februari hingga 14 Mac lalu di Selangor.

“Hasilnya sebanyak 111 tapak binaan diperiksa dan 95 daripadanya mempunyai pembiakan aedes serta semuanya didakwa di mahkamah.

“Sebanyak 80 tapak binaan diarahkan tutup untuk kerja pembersihan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 11 April 2015 @ 5:39 AM