Oleh Ayusliza Azizan

Shah Alam: Sebanyak 98 kes kematian akibat wabak denggi dilaporkan dari 16 hingga 21 Mac lalu berbanding 54 kes dalam tempoh sama tahun lalu di seluruh negara.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr S Subramaniam berkata, dalam tempoh sama kes demam denggi dilaporkan sebanyak 2,006 kes berbanding tahun lalu 2,275 kes mencatatkan pengurangan 34 peratus.

"Jumlah kumulatif kes demam denggi dari Januari hingga 21 Mac lalu sebanyak 30,890 kes dilaporkan berbanding tahun lalu dalam tempoh sama 21,967 kes.

"Hingga hari ini Selangor masih mencatatkan kes demam denggi paling tinggi di negara ini iaitu 58 peratus daripada kes keseluruhan," katanya ketika melakukan lawatan lokaliti hotspot di Seksyen 7 di sini.

Menurutnya, sebanyak 95 tapak binaan dikesan menjadi tempat pembiakan nyamuk aedes daripada 111 tapak yang diperiksa dalam Ops Gempur Aedes dari 10 Februari hingga 14 Mac lalu.

Katanya, langkah terbaru bagi memerangi pembiakan nyamuk aedes adalah dengan pelaksanaan teknik Semburan Residual Spray (ORS) yang disembur di luar kawasan kediaman.

"Daripada 71 kawasan hotspot yang dilakukan semburan ORS, 63 kawasan menunjukkan pengurangan kes," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 25 Mac 2015 @ 1:33 PM