Oleh Mahaizura Abd Malik

Kuala Lumpur: Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (Pendidikan Tinggi) - PPPM (PT) 2015-2025 mampu melonjakkan institut pengajian tinggi (IPT) negara ini sebagai institusi bertaraf kelas dunia.

Pelan yang akan dilancarkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak 7 April ini dilihat mampu membawa IPT di Malaysia dalam menghasilkan modal insan sebaik kualiti graduan di negara maju.

Keyakinan itu dikongsi bersama Profesor Ulung Negara Prof Datuk Dr Harith Ahmad yang mengakui Malaysia perlu melahirkan modal insan berkualiti dari segi akademik, tetapi pada masa sama berkemahiran tinggi untuk menjadikan negara ini maju.

“Industri terutama syarikat berkaitan kerajaan (GLC) perlu lebih proaktif memainkan peranan bersama bertanggungjawab menyediakan sumber input kepada modal supaya mereka memenuhi kehendak pasaran industri semasa.

“Modal insan berkemahiran tinggi ini sangat penting supaya dapat menjana industri baru yang dapat memberi peluang pekerjaan dan menjadi sumber kewangan kepada Malaysia.

“Pelan ini dapat memastikan modal insan sebaik negara maju, saya yakin dalam lima tahun akan datang kualiti modal insan kita bertambah baik dan mampu berada pada kedudukan 100 universiti terbaik di dunia,” katanya.

Beliau berkata, PPPM (PT) membantu Malaysia mempersiapkan diri melangkah ke depan setanding dengan negara maju lain.

“Ia menjadikan universiti kita bertaraf kelas dunia dan yang paling penting mampu menjadikan universiti tempatan sebagai universiti global dengan rangkaian antarabangsa.

“Contohnya, sekarang saja sudah banyak universiti tempatan yang bekerjasama dengan universiti terbaik antarabangsa seperti Oxford, Cambridge dan banyak lagi.

“Bilangan pelajar asing di universiti tempatan tinggi iaitu lebih 100,000 orang, malah, kita juga ada ramai pensyarah asing berminat bekerja di sini dan ia menunjukkan tahap sistem pendidikan kita yang baik dan kita mungkin mampu jadi hab pendidikan antarabangsa,” katanya.

Menyentuh mengenai satu daripada lonjakan yang difokuskan dalam PPPM (PT), iaitu Latihan dan Pendidikan Teknikal dan Vokasional (TVET), Dr Harith berkata, lonjakan itu idea bernas dan bijak kerana ia keperluan utama dalam industri pada 20 tahun akan datang.

“Di negara maju seperti Jerman dan Paris, TVET sangat penting dan pekerja berkemahiran tinggi menjadi antara tulang belakang kemajuan negara mereka.

“Untuk menjadikan negara kita maju, TVET perlu digabungkan dengan sistem akademik supaya dapat melahirkan banyak modal insan dalam pelbagai bidang termasuk penyelidikan dan industri.

“Selain itu, kita perlu lahirkan pekerja kemahiran tinggi untuk menjana industri kecil dan sederhana di Malaysia supaya dapat dibangunkan menjadi industri besar dalam kalangan dunia,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 April 2015 @ 10:09 AM