SESI pendengaran mengenai PPPM (PT) yang diadakan di UNIMAS.
SESI pendengaran mengenai PPPM (PT) yang diadakan di UNIMAS.
Oleh Hadzlihady Hassan dan Mohd Ruzaini Zulkepli

Kuala Lumpur: Pandangan pelbagai pihak diambil kira dalam merangka Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (Pendidikan Tinggi) - PPPM (PT) 2015-2025 dengan mengadakan beberapa siri pendengaran awam.

Berfokuskan 10 lonjakan yang menjadi teras pelan berkenaan, semua pandangan dalam sesi berkenaan diteliti dalam merangka pelan transformasi pendidikan itu bagi memastikan ia dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan.

Dua sesi yang diadakan di Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) dan Universiti Malaysia Sabah (UMS) baru-baru ini dihadiri masyarakat pelbagai peringkat yang prihatin dan mahu melihat dengan lebih dekat perancangan dan usaha untuk terus memantapkan lagi pendidikan tinggi negara.

Naib Canselor Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) Prof Datuk Dr Mohamad Kadim Suaidi berkata, sesi pendengaran awam yang diadakan itu memberi keyakinan kepada orang ramai mengenai usaha dan perancangan kementerian dalam memartabatkan lagi pendidikan tinggi.

“Sesi pendengaran awam itu dihadiri kira-kira 400 orang terdiri daripada pelbagai lapisan masyarakat dan mereka menerima penerangan lebih jelas mengenai PPPM (PT).

“Banyak maklum balas positif yang kami terima dan secara umumnya sesi pendengaran awam itu sangat berjaya dan pihak universiti berpuas hati dengan hasil diperoleh daripada sesi berkenaan,” katanya.

Menurut beliau, ada juga kerunsingan yang dibangkitkan ketika sesi itu namun dengan penjelasan lanjut, orang ramai mendapat maklumat secukupnya dan maklum balas yang diberikan cukup baik.

“Kebimbangan orang ramai bahawa pelan ini lebih fokus kepada orang bijak pandai namun ia sebenarnya menyeluruh kerana kami turut memberi penekanan kepada aspek latihan vokasional teknikal (T-VET) dan aspek pembelajaran sepanjang hayat.

“Ada juga yang membangkitkan mengenai isu demokrasi ilmu kerana pelajar risau sekiranya suara mereka tidak diambil kira namun pihak universiti mengambil berat dengan mewujudkan Parlimen belia dan mahasiswa dan kami sentiasa berinteraksi dengan mereka,” katanya.

PPPM (PT) dijangka dilancarkan April depan berteraskan 10 lonjakan iaitu Graduan Holistik dan Keusahawanan Seimbang; Kecemerlangan Bakat; Masyarakat yang Belajar Sepanjang Hayat; Graduan T-VET Berkualiti; Tadbir Urus Perkasa (Sistem Tadbir Urus Universiti); Kelestarian Kewangan; Ekositem Inovasi; Penyampaian Program Pendidikan yang diTransformasikan, Kesohoran Global dan Pembelajaran Dalam Talian Secara Global.

Dr Mohamad Kadim berkata, pelan ini memerlukan masa yang panjang untuk dirangka dan ia adalah kesinambungan dan semakan pelan terdahulu iaitu Pelan Strategik Pendidikan Tinggi Negara (PSPTN).

“PPPM (PT) akan memastikan apa yang dirangka terdahulu akan dilaksanakan dan bagi UNIMAS kita sudah bersedia secukupnya untuk menjayakan pelan ini,” katanya.

Pandangan dan semangat sama ditunjukkan UMS yang mahu sama-sama menjayakan dan memberi kefahaman kepada masyarakat mengenai PPPM (PT) dengan mengadakan pendengaran awam Februari lalu yang memperincikan lagi 10 lonjakan berkenaan.

Naib Canselor UMS Datuk Dr Mohd Harun Abdullah berkata, seramai 291 individu terdiri daripada ahli politik, penuntut universiti, ibu bapa, badan bukan kerajaan (NGO) dan orang ramai terbabit dalam program berkenaan.

Katanya, seisi berkenaan disempurnakan Menteri Pendidikan II Datuk Seri Idris Jusoh yang berperanan sebagai moderator utama bersama Ketua Setiausaha II Kementerian Pendidikan, Datuk Seri Ir Dr Zaini Ujang.

“Antara isu dibincangkan berkaitan pelaksanaan PPPM (PT) termasuklah kemampanan kewangan universiti, autonomi, kualiti institusi pengajian tinggi dan kualiti graduan.

“Harapan kementerian terhadap keberhasilan graduan daripada pelaksanaan ini kelak termasuklah memastikan kesinambungan pelan pembangunan yang diselaraskan bersama lima aspirasi iaitu akses, kualiti, ekuiti, uniti dan kecekapan.

“Mengambil contoh isu penggunaan Bahasa Inggeris dalam kalangan graduan atau penuntut universiti, saya sering menerima maklum balas bahawa orang ramai menyalahkan institusi pengajian tinggi itu sendiri apabila graduan dilahirkan tidak fasih berbahasa atau menulis dalam bahasa antarabangsa itu dengan fasih,” katanya.

Dr Mohd Harun berkata, perkara itu perlu ditekankan dari peringkat akar umbi kerana sudah tentu penuntut berdepan pelbagai cabaran di universiti dan adakalanya sukar memberi fokus terhadap pengajaran dalam Bahasa Inggeris.

“Sehubungan itu, pelaksanaan PPPM(PT) ini kelak, saya berharap ciri-ciri berkenaan mampu diubah dan ditangani bersama tanpa perlu menuding jari kepada satu pihak saja,” katanya.

Mengulas lanjut mengenai pelan itu beliau berkata, pelan ini adalah salah satu mekanisma kementerian yang mampu memperkasakan pembangunan pendidikan rakyat secara global berteraskan ilmu dan etika.

“Tunjang PPPM(PT) adalah kesinambungan kajian semula Pelan Strategik Pengajian Tinggi Negara (PSPTN) 2007-2020 serta penyelarasan dalam pendidikan di sekolah,”katanya.

Mohd Harun berkata, UMS mengalu-alukan pelan itu kerana secara tidak langsung dapat melonjakkan identiti universiti berkenaan ke peringkat lebih tinggi.

“UMS adalah salah satu daripada 20 universiti awam di negara ini yang beridentitikan alam sekitar selain kepakaran marin melalui Institut Penyelidikan Borneo Marin terbesar di Malaysia dan tentunya pelan ini akan memantapkan lagi fokus ini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 1 Mac 2015 @ 5:25 AM