Kuantan: Tindakan selamba seorang lelaki yang mengambil baju dan seluar di sebuah pasar raya di bandar ini sebelum keluar tanpa membuat pembayaran menerima padah apabila ditahan pengawal keselamatan di premis berkenaan, kelmarin.

Kejadian jam 11.30 malam itu disedari pengawal keselamatan berusia 20 tahun yang curiga melihat tindakan suspek membelek pakaian sebelum memasukkannya ke dalam beg plastik.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kuantan Superintendan Abdul Aziz Ahmad berkata, suspek berusia 33 tahun berasal dari bandar ini terus keluar dari premis berkenaan tanpa membuat sebarang pembayaran.

“Melihat tindakan suspek, pengawal keselamatan itu mengejarnya sebelum berlaku pergelutan antara mereka, namun orang ramai yang menyaksikan kejadian menghulurkan bantuan dengan menahan lelaki terbabit.

“Pengawal keselamatan berkenaan menghubungi polis untuk tindakan lanjut sebelum polis membawanya ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan untuk siasatan lanjut,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Beliau berkata, siasatan mendapati lelaki terbabit mencuri 12 pasang baju yang dibungkus dalam plastik hitam sebelum melarikan diri.

“Nilai pakaian berkenaan RM1,928 dan kita menjalankan siasatan terperinci terhadap suspek untuk melihat sama ada dia terbabit dalam aktiviti jenayah lain di sekitar bandar ini.

“Siasatan terhadap suspek juga mendapati dia mempunyai sembilan rekod jenayah lampau berkaitan curi dan dadah selain ujian saringan air kencing mendapati dia positif morfin,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 7 April 2015 @ 10:31 AM