Oleh Mohd Fadly Samsudin

Kajang: Gelagat aneh seorang wanita yang kerap keluar masuk sebuah pusat beli-belah membongkar kegiatan suspek mencuri pakaian, cadar serta jam tangan bernilai lebih RM7,000.

Dalam kejadian jam 11.15 pagi kelmarin, suspek berusia 30-an mengambil masa hampir empat jam untuk mencuri 56 barangan di sebuah pusat beli-belah di Cheras Selatan, di sini.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kajang Superintendan Abdul Ghani Mohamad Ji berkata, gelagat suspek disedari pengawal keselamatan yang meronda di bahagian jualan pakaian wanita.

Menurutnya, pengawal keselamatan yang menyedari perbuatan suspek mengekori wanita berkenaan.

“Sebaik tiba di kawasan letak kereta, pengawal keselamatan mendapati suspek menyimpan semua barangan dicuri di dalam but Proton Saga BLM miliknya.

“Susulan itu dua lagi pengawal keselamatan menahan dan membuat pemeriksaan terhadap kenderaan suspek,” katanya.

Beliau berkata, pengawal keselamatan meminta suspek menunjukkan resit pembelian semua barangan, namun suspek gagal menunjukkan bukti.

“Hasil pemeriksaan dijalankan mendapati semua barangan yang diambil suspek tidak dibayar dan tiada resit pembelian. Suspek menggunakan beg plastik kosong untuk mengisi dan melarikan barangan dicuri itu.

“Suspek dibawa ke bilik pengawal dan dia mengaku mencuri semua barangan dari pusat beli-belah berkenaan,” katanya.

Abdul Ghani berkata, satu laporan dibuat pihak pusat beli-belah di Balai Polis Tun Hussein Onn, di sini, untuk tindakan lanjut.

“Siasatan mendapati suspek menggunakan kereta milik suaminya.

“Kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan iaitu mencuri dalam bangunan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 23 September 2015 @ 4:45 AM