Oleh Hafidzul Hilmi Mohd Noor

Kuala Lumpur: Rempuh dan curi telefon pintar mangsa. Itu taktik licik digunakan dua penjenayah yang dikesan mengambil kesempatan melarikan telefon pintar milik penonton konsert artis Korea di Stadium Putra Bukit Jalil, kelmarin.

Dalam kejadian jam 5.30 petang itu, dua suspek berusia 20-an menggunakan taktik mendekati mangsa sebelum melanggar mangsa sehingga terjatuh.

Ketua Polis Daerah Cheras Asisten Komisioner Chong Kok Sin berkata, seorang mangsa yang dilanggar menyedari telefon bimbit model iPhone 6 miliknya hilang ketika mengambil barangan yang terjatuh.

Menurutnya, mangsa kemudian melaporkan kehilangan telefon pintarnya itu kepada pengawal keselamatan bertugas.

“Pengawal keselamatan terbabit memberitahu ternampak suspek iaitu dua lelaki menolak mangsa dengan sengaja dan mengambil telefon bimbit dari dalam beg mangsa.

“Pengawal keselamatan terbabit kemudian mengejar suspek dan berjaya menangkap seorang daripada suspek,” katanya.

Menurutnya, mangsa kemudian mengecam telefon pintar disimpan suspek a miliknya berikutan terdapat gambarnya dan keluarga pada telefon pintar itu.

Chong berkata, siasatan awal mendapati suspek warga Indonesia berusia 31 tahun dan rakannya berjaya melarikan diri.

“Kejadian berlaku ketika keadaan sesak dan ramai penonton menyaksikan konsert terbabit menyebabkan suspek mengambil kesempatan untuk mencuri.

“Suspek kini ditahan reman selama 14 hari sehingga 8 Ogos ini bagi membantu siasatan. Kami juga giat mengesan rakan suspek,”katanya.

Menurut Kok Sin, kes disiasat mengikut Seksyen 379 dan Seksyen 6 (1) (c) Akta Imigresen.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 30 Julai 2015 @ 10:41 AM