Alif bersama kira-kira 3,000 jemaah masjid
Alif bersama kira-kira 3,000 jemaah masjid

Kuala Lumpur: Usaha penyanyi dan pengacara, Alif Satar melancarkan kempen #GengSubuhMacamJumaat pada hari pertama 2024 mendapat sambutan hebat daripada pelbagai lapisan usia.

Kira-kira 3,000 jemaah menyertai kempen yang dimulakan dengan solat subuh berjemaah di Masjid Saidina Umar Al-Khattab, Bukit Damansara di sini, disusuli dengan acara berjoging beramai-ramai.

Menurut Alif, dia terharu apabila kempen berkenaan mendapat sambutan menggalakkan daripada orang ramai.

"Alhamdulillah, terima kasih semua yang datang dan memeriahkan kempen ini. Kita hendak sambung momentum seterusnya cabaran 40 hari #GengSubuhMacamJumaat sebelum tiba Ramadan yang hanya tinggal kira-kira 70 hari lagi dari sekarang.

"Kalau cabaran Ironman (pertandingan kecergasan) hanya saya seorang boleh buat, tetapi cabaran subuh ini semua orang boleh buat.

"Sekiranya ada mana-mana ahli jawatankuasa (AJK) masjid yang nak buat perkara sama, boleh hubungi AJK Masjid Saidina Umar. Kita teruskan tanda pagar ini.

"Pada mereka yang belum mula lagi, saya tidak tahu apa yang anda tunggu lagiā€¦ Jom sama-sama kita jayakan," tulisnya di Instagram.

Tambah Alif, sejak memulakan kempen itu pada November tahun lalu dia mendapati ia semakin berkembang dan lebih menarik lagi apabila disusuli aktiviti berlari yang turut ditemani ramai rakan baharu.

Lebih mencuit hati ada dikalangan jemaah yang mengiringi Alif berlari sekalipun dengan berkain pelikat dan berselipar.

Alif mendapat ilham mencetuskan kempen berkenaan selepas mendengar ceramah seorang ustaz berkaitan isu Palestin membayangkan program sama akan diteruskan pada acara KL Free Car Morning pada masa akan datang.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 January 2024 @ 11:39 AM