ANGGOTA penguat kuasa menunjukkan bungkusan makanan yang dirampas.
ANGGOTA penguat kuasa menunjukkan bungkusan makanan yang dirampas.
Oleh Ekhwan Haque Fazlul Haque

Pelabuhan Klang: Permintaan tinggi produk makanan dari seberang mendorong sindiket mencuba nasib menyeludup pelbagai barangan makanan menggunakan bot tukaran barang melalui pelabuhan, di sini.

Bagaimanapun, taktik menyembunyikan pelbagai barangan makanan bernilai RM6,393 di bahagian kargo bot berkenaan berjaya dipatahkan Pasukan Polis Marin (PPM) Pelabuhan Klang, kira-kira jam 11.30 pagi kelmarin.

Bot tukaran barang dari Indonesia dipintas sepasukan pegawai dan anggota di Perairan Tanjung Harapan, di sini, dipercayai dalam perjalanan menuju ke Jeti Asa Niaga untuk menghantar barangan.

Difahamkan, barangan makanan yang diseludup masuk dari Indonesia sememangnya mendapat permintaan tinggi terutama daripada rakyat negara berkenaan yang bekerja di negara ini.

Pegawai Pemerintah PPM Pelabuhan Klang Deputi Superintendan Ahmad Shafiki Hussin berkata, antara barangan yang dirampas daripada bot tukaran berkenaan seperti perasa makanan (192 peket), susu (720 tin), air kotak (360 kotak), air penyejuk badan (288 tin), sos (72 botol) dan mi segera (3,840 bungkus).

Menurutnya, pemeriksaan lanjut di bahagian kargo bot tukaran barang berkenaan kemudiannya menjumpai pelbagai jenis makanan yang disorok di bawah timbunan barangan lain.

“Tekong bot berkenaan bagaimanapun gagal mengemukakan dokumen pengisytiharan barangan makanan yang dibawa dan ia menjadi kesalahan mengikut undang-undang negara ini.

“Barang makanan yang mahu dibawa masuk perlu mendapatkan pengisytiharan dan kebenaran daripada pihak berkuasa negara ini sebelum dibenarkan diimport,” katanya.

Katanya, bagi kesalahan itu, pihak berkuasa merampas semua barangan makanan yang ditemui dan dibawa ke Pejabat Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) Pelabuhan Klang untuk siasatan lanjut dan disiasat mengikut Seksyen 11(1) Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 .

Beliau berkata, operasi pembanterasan aktiviti penyeludupan akan terus dipergiatkan bagi mengekang mana-mana pihak yang cuba menyeludup masuk barangan yang tidak dibenarkan ke negara ini.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 16 Februari 2015 @ 6:49 AM