MENTERI di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Mujahid Yusof
MENTERI di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Mujahid Yusof
Noor Atiqah Sulaiman


KERAJAAN akan meneliti semula prosedur operasi standard (SOP) sedia ada berkaitan kemasukan penceramah luar ke negara ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Mujahid Yusof berkata, Kabinet sebelum ini juga sudah bersetuju bahawa kehadiran penceramah luar mestilah mengikut syarat yang ditetapkan.

Menurutnya, syarat itu bukan saja perlu dipatuhi oleh penceramah tetapi juga termaktub kepada individu bukan Islam yang hadir dalam sesuatu ceramah yang diadakan.

“Dia (penceramah) mestilah mengikut dan faham situasi di negara ini, keadaan masyarakat serta beberapa perkara asas lain.

“Mereka tetap kena hormati undang-undang serta keadaan negara ini yang mempunyai berbilang kaum dan bangsa (di mana) Islam sebagai agama Persekutuan (tetapi) agama lain bebas untuk diamalkan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai isu penceramah bebas, Dr Zakir Naik susulan ucapannya yang didakwa menyinggung perasaan masyarakat bukan Islam negara ini.

Terdahulu, Mujahid melancarkan Program Halal Fun Run 2019 di Kompleks Islam Putrajaya hari ini.

Sementara itu, Mujahid turut mengulas mengenai kenyataan Naib Presiden PAS Idris Ahmad yang mendakwa Islam kini terancam di bawah kepimpinan Pakatan Harapan (PH).

Mujahid berkata, pembangkang seharusnya tidak menggunakan agama sebagai modal politik sehingga menggambarkan Islam kini terancam.

“Kalau nak ambil dua tiga isu untuk menggambarkan keseluruhan kegagalan, bagi saya itu sudah melampau.

“Pembangkang selama ini sering menguar-uarkan bahawa Islam kini terancam di bawah PH namun mereka tidak memperincikan maksud ancaman berkenaan.

“Kalau dimaksudkan terancam itu kerana DAP, hebatlah DAP sampai Islam boleh terancam. Sedangkan kami di Kabinet, segala keputusan dibincangkan mengikut kaedah dan tiada isu yang dianggap terancam,” katanya.

Mujahid turut menasihatkan pembangkang supaya tidak terkeliru dengan pemahaman ancaman berkenaan.

“Mereka seolah menganggap jika mereka terancam (maka) Islam juga terancam, ia terlalu berat untuk diterima. Atas sebab itu saya nasihatkan mereka supaya tidak terkeliru,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 21 Ogos 2019 @ 7:55 PM