MESEJ yang tular sejak kelmarin.
MESEJ yang tular sejak kelmarin.
Hafidzul Hilmi Mohd Noor


POLIS menafikan berlaku kejadian culik membabitkan kanak-kanak di Jalan PU 9, Subang Jaya, yang tular sejak kelmarin.

Sebaliknya, mesej yang tular itu berlaku pada 2018 dan ia adalah laporan palsu dibuat seorang kanak-kanak kerana bimbang dimarahi ibu bapanya.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Risikin Satiman berkata, kes pada 2018 itu sudah selesai membabitkan seorang kanak-kanak lelaki mereka-reka cerita mendakwa dia diculik hanya kerana dia pulang lewat selepas bermain basikal lajak di Puchong Permai, Subang Jaya.

"Kanak-kanak berusia 12 tahun itu dikatakan berjanji bersama beberapa rakan untuk bermain basikal lajak di Puchong Permai yang terletak kira-kira empat kilometer dari kediamannya di Jalan PU 9," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Risikin berkata, orang ramai yang menyebar berita palsu sehingga meresahkan orang lain boleh didakwa mengikut peruntukan undang-undang.

"Polis menasihatkan orang ramai supaya tidak menyebarkan berita yang tidak ditentukan kesahihannya kerana ia adalah satu kesalahan undang-undang.

"Orang ramai perlu mendapatkan kepastian daripada polis mengenai sesuatu kejadian sebelum ditularkan kerana ia adalah satu kesalahan serta merisaukan orang ramai dengan perkara yang tidak berlaku," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 8 Ogos 2020 @ 1:09 PM