PASUKAN mencari dan menyelamat menemui mayat dua beranak di dasar Sungai Moyog.
PASUKAN mencari dan menyelamat menemui mayat dua beranak di dasar Sungai Moyog.

Penampang: Niat tujuh sekeluarga menghabiskan cuti hujung minggu dengan berkelah bertukar tragedi apabila dua daripadanya lemas sebelum ditemui di dasar Sungai Moyog, Kampung Madsiang, di sini, semalam.

Mayat anggota tentera, Sarjan Mejar Samra Tongkooh, 40, dan anaknya, Noel, 8, ditemui dalam keadaan berpelukan oleh pasukan penyelamat jam 9.05 pagi semalam, kira-kira 30 meter dari lokasi mereka dilaporkan hilang.

Dua beranak itu dilaporkan hilang kira-kira jam 2 petang kelmarin selepas dihanyutkan arus dan ditemui di dasar sungai sedalam 7.2 meter itu.

Kejadian itu juga hampir mengorbankan nyawa isteri mangsa, Elisabeth Magut, 37, dan seorang lagi anak lelaki pasangan berkenaan berusia 13 tahun, namun kedua-duanya diselamatkan ahli keluarga lain.

Menurut seorang ahli keluarga yang enggan dikenali, mereka ke situ untuk berkelah dan ketika sedang mandi, selipar salah seorang anak mangsa hanyut.

“Ketika cuba mengambil selipar itu, Noel dikatakan hanyut dan cuba dibantu abangnya yang berusia 13 tahun, tetapi kedua-duanya hanyut.

“Elisabeth cuba membantu kedua-dua anaknya, tetapi turut dibawa arus dan Samra terus berenang untuk membantu isteri dan kedua-dua anaknya,” katanya.

Bagaimanapun, ahli keluarga yang berada di situ hanya berjaya menyelamatkan Elisabeth dan seorang anaknya manakala Samra dan Noel terus tenggelam dibawa arus.

“Sepasukan anggota penyelamat yang menjalankan operasi mencari menemui mayat dua beranak itu dalam keadaan berpelukan di dasar sungai,” katanya.

Sementara itu, Pemangku Ketua Polis Daerah Penampang Asisten Superintendan Azmir Abd Razak berkata, mayat mangsa dibawa ke Hospital Queen Elizabeth 1 (HQE1) untuk dibedah siasat.

“Isteri dan seorang lagi anak mangsa turut dihantar ke hospital sama untuk mendapatkan rawatan,” katanya.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Penampang Akramin Sakirun berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan kira-kira jam 2 petang kelmarin dan mengarahkan 11 anggota bersama tiga jentera ke lokasi kejadian.

Beliau berkata, operasi itu turut disertai Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sebelum kedua-dua mangsa ditemui di dasar sungai.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 12 January 2015 @ 8:08 AM