Orang ramai membantu mengangkat mayat Nor Shafia Hafiza yang lemas di Sungai Pedu, Kampung Tanjung Pedu.  Foto Ihsan Pembaca
Orang ramai membantu mengangkat mayat Nor Shafia Hafiza yang lemas di Sungai Pedu, Kampung Tanjung Pedu. Foto Ihsan Pembaca
Aizat Sharif dan Zuliaty Zulkiffly


“SELAMA ini dia (Nor Shafia Hafiza Samsudin, 16) tidak pernah serahkan cincin hiasan yang dipakainya kepada saya, tetapi entah mengapa tiba-tiba dia beri cincin itu kemudian pergi mandi sebelum lemas,” kata suri rumah Noor Hayati Ramli, 40.

Noor Hayati ketika ditemui wartawan Harian Metro kelihatan cukup sebak mengenangkan malang menimpanya apabila melihat sendiri anaknya itu, Nor Shafia Hafiza bersama seorang lagi anaknya, Norshariza Hafiza Samsudin, 14, lemas di hadapan mata.

Dalam kejadian 12.30 tengah hari ini, perkelahan Noor Hayati bersama keluarga di rumah pam Sungai Pedu, Kampung Tanjung Pedu, Padang Terap, bertukar tragedi apabila dua anaknya itu bersama datuk mereka, Mohamad Ramli Ibrahim, 65, lemas.

Bercerita lanjut, Noor Hayati yang mengandung lima bulan berkata, cincin hiasan yang diberikan kepada anaknya Nor Shafia Hafiza beberapa tahun lalu itu jarang ditanggalkan oleh anaknya itu.

“Tiba-tiba lepas makan di tepi tebing sungai, dia berikan cincin itu pada saya sebelum terjun ke sungai untuk mandi bersama adiknya serta sepupu lain.

“Tidak semena-mena selepas itu saya ternampak anak saya terkapai-kapai dan arus sungai semakin kuat menariknya ke tengah (sungai) bersama anak saya yang kedua itu sebelum hilang dari pandangan mata saya,” katanya ketika ditemui di bilik mayat Hospital Kuala Nerang, hari ini.

Menurutnya, dia cuba meminta bantuan orang awam yang turut berada di tepi tebing sungai berkenaan, namun mereka tidak berani untuk terjun ke sungai kerana air begitu deras.

“Tiba-tiba bapa saya (Mohamad Ramli) yang terjun untuk selamatkan mereka, namun dengan kudratnya yang terbatas dia pun turut sama dihanyutkan arus.

“Saya hanya mampu menjerit meminta tolong apabila bapa saya turut hilang dibawa arus sungai yang sangat laju dan deras,” katanya.

Dia berkata, sejak awal perkelahan itu dia sudah berasa tidak sedap hati untuk pergi berkelah ke tempat itu.

“Saya sepatutnya pulang ke rumah kami di Kuala Kedah 9 pagi ini bersama kedua-dua anak saya itu, namun bapa saya mengajak untuk pergi berkelah pula.

“Jadi kami pun ikut sama, malah makanan pun kami beli sebab saya dah siap-siap untuk pulang ke Kuala Kedah, tetapi dalam perjalanan saya dah merasakan tak sedap hati dan tidak sangka perkara ini boleh berlaku,” katanya.

Katanya, Norshariza Hafiza Samsudin bersekolah di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tun Sharifah Rodziah, Alor Setar dan kakaknya pula bersekolah di SMK Keat Hwa, Alor Setar sangat mesra dengannya.

Berita berkaitan

[UPDATE] Hanyut depan mata

'Hmm panas-panas' status terakhir

'Pilunya lihat suami, dua cucu lemas'

'Tragedi berkelah, 1 lemas, 2 hilang'

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 7 Februari 2019 @ 9:47 PM