MANGSA terakhir dihanyutkan arus deras, Tomansi Olaf, 17 ditemui pasukan mencari dan menyelamat kira-kira 300 meter dari pos kawalan kedua operasi di Sungai Moyog, Penampang. FOTO ihsan BOMBA
MANGSA terakhir dihanyutkan arus deras, Tomansi Olaf, 17 ditemui pasukan mencari dan menyelamat kira-kira 300 meter dari pos kawalan kedua operasi di Sungai Moyog, Penampang. FOTO ihsan BOMBA
Juwan Riduan


Penampang: Mangsa terakhir yang hilang selepas dihanyutkan arus deras di Sungai Kampung Pogunon, kelmarin, ditemukan di Sungai Moyog, di sini, hari ini.

Mayat Tomansi Olaf, 17, ditemui pada 11.04 pagi kira-kira 300 meter dari pos kawalan kedua Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) yang dibuka untuk operasi mencari dan menyelamat (SAR).

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) JBPM Sabah berkata, mayat mangsa kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

"Dalam operasi pencarian hari ini, pasukan bomba menggunakan kaedah 'Z' di sepanjang Sungai Moyog bagi memastikan setiap kawasan dapat dilalui dengan sempurna.

"Pencarian juga dijalankan di kawasan pesisir sungai akhirnya berjaya menemui mayat mangsa," katanya.

Dalam kejadian pada 3 petang Sabtu lalu, Tomansi dan rakannya Harold Walter, 17, dikatakan hanyut akibat kepala air ketika cuba menyeberangi sungai bersama empat lagi rakan mereka.

Mayat mangsa pertama ditemui di Kampung Pagansakan Inobong, di sini, pada 2.45 petang semalam oleh seorang penduduk kampung kira-kira tiga kilometer dari lokasi kejadian.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 20 Jun 2022 @ 1:31 PM