ZAIDE berada di pusat pemindahan Balai Raya JKKK Kampung Padang Kubu.
ZAIDE berada di pusat pemindahan Balai Raya JKKK Kampung Padang Kubu.
PERUMAHAN di Padang Kubu banjir semula.
PERUMAHAN di Padang Kubu banjir semula.
Oleh Shamsudin Husin.

Chukai: “Sejak banjir melanda akhir bulan lalu, sudah 11 kali saya berpindah ke pusat pemindahan ini,” kata Zaide Osman, 53, dari Kampung Padang Kubu, di sini.

Zaide antara 124 mangsa banjir membabitkan 37 keluarga yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) Balai Raya JKKK Kampung Padang Kubu sejak kelmarin.

“Banjir gelombang pertama menyebabkan kami sekeluarga berpindah pada 15 Disember tahun lalu dan sejak itu, sudah 11 kali kami duduk di balai raya ini.

“Memanglah payah nak berulang-alik hingga 11 kali dalam tempoh tak sampai sebulan, tapi apa nak buat, benda dah nak jadi,” katanya ketika ditemui, kelmarin.

Ibu kepada 11 anak berusia antara 13 hingga 37 tahun itu berkata, air mula naik di kawasan kediamannya petang kelmarin sebelum dia bersama ahli keluarga berpindah jam 4.30 petang.

“Saya harap banjir kali ke-11 ini yang terakhir untuk musim ini, lebih-lebih lagi dua anak saya akan memulakan sesi persekolahan pada 11 Januari.

“Anak bongsu Mohd Suhaimi Mohamad, 13, memasuki tingkatan satu di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Bandi. Walaupun sekolah itu berada di tempat tinggi, tetapi saya bimbang jika banjir berterusan, jalan untuk ke sekolah tersekat.

“Anak ke-10, Nur Syafikah Mohamad, 15, pula memasuki Sekolah Anak Yatim Darul Falah Bukit Payung. Persiapan sekolah pun belum dapat disempurnakan kerana kami kerap berpindah,” katanya.

Menurutnya, memandangkan kampung sering dinaiki air, dia dan suami Mohamad Ngah, 56, mengambil langkah awal menyelamatkan barangan di rumah mereka.

“Tiada kerugian atau kerosakan barangan rumah kerana kami melakukan persiapan dengan meletakkan barangan di tempat tinggi,” katanya.

Katanya, meskipun berpindah banyak kali, dia tidak berhajat berpindah ke kawasan lain kerana sudah lebih 30 tahun tinggal di kampung berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 10 January 2015 @ 5:45 AM