Syamsi dan keluarga ketika ditemui di SMK Long Ghafar, hari ini. FOTO Mohammad Sufian Rosli
Syamsi dan keluarga ketika ditemui di SMK Long Ghafar, hari ini. FOTO Mohammad Sufian Rosli
Siti Nor Hidayatidayu Razali


Kota Bharu: Jurugambar The New Straits Times Press (NSTP) Biro Kelantan, Syamsi Suhaimi, 43, dan keluarga menjadi antara 888 mangsa banjir yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Long Gafar, di sini.

Syamsi berkata, dia dan isteri, Siti Hawa Mohamad, 39, bersama tiga anak berpindah ke sekolah itu pada jam 5 petang semalam.

Katanya, dia berpindah selepas rumahnya di Guntung Limbat, Pasir Tumboh dinaiki air sedalam 0.5 meter.

"Selain dinaiki air, bekalan elektrik dan talian komunikasi terputus sejak 4 pagi semalam.

"Sejak tinggal di sini lapan tahun lalu, ini adalah kali pertama kami mengalami banjir besar kerana semua jalan tidak boleh dilalui berbanding 2014, keadaan jalan di sekeliling rumah boleh dilalui," katanya ketika ditemui di SMK Long Gafar, hari ini.

Sementara itu, ibu tunggal, Salihah Harapan Abdullah, 37, bersama enam anak termasuk seorang yang menghidap sindrom cerebral palsy, Natasha Mohd Zailani, 10, berpindah ke pusat pemindahan sejak 5 petang semalam.

"Arus deras memasuki rumah menyebabkan saya bimbang dengan keselamatan anak yang masih kecil terutama anak istimewa saya.

"Banjir ini agak besar berbanding sebelum ini hanya di halaman rumah saja," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 22 January 2017 @ 12:53 PM