LALUAN darat di perkampungan Orang Asli yang rosak teruk.
LALUAN darat di perkampungan Orang Asli yang rosak teruk.
KAKITANGAN Jabatan Kemajuan Hal Ehwal Orang Asli (JAKOA) memindahkan makanan dan keperluan harian ke dalam bot.
KAKITANGAN Jabatan Kemajuan Hal Ehwal Orang Asli (JAKOA) memindahkan makanan dan keperluan harian ke dalam bot.

Gerik: Kira-kira 5,000 penduduk Orang Asli di perkampungan Orang Asli Pos Kemar di sini bersyukur dengan lawatan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin meninjau keadaan dan lokasi jambatan runtuh yang mengakibatkan hubungan darat terputus di kawasan berkenaan.

Lawatan itu adalah yang pertama membabitkan pemimpin negara ke kawasan itu merangkumi 15 perkampungan Orang Asli terdiri daripada 975 keluarga dari suku kaum Temiar.

Perkara itu diakui Tok Batin Kampung Bal Pos Kemar, Zainal Abain, 52, yang menyatakan belum pernah dalam sejarah Timbalan Perdana Menteri turun ke kawasan itu.

Katanya, penduduk Orang Asli menganggap lawatan itu sebagai hadiah sempena tahun baru kerana pelbagai masalah disuarakan kepada Timbalan Perdana Menteri khususnya laluan darat yang terputus sehingga mengakibatkan kehabisan bekalan makanan.

Menurutnya, satu-satunya laluan ke kawasan itu melalui Tasik Banding yang memerlukan perbelanjaan besar dan mengambil masa hampir dua jam.

“Walaupun lawatan Tan Sri Muhyiddin singkat kerana terpaksa bergegas ke beberapa lokasi lain di Kenering, Lenggong dan Lambor Kiri di Parit, ia cukup istimewa kerana Pos Kemar menjadi lokasi pertama dilawati di negeri Perak.

“Ia jelas menunjukkan pemimpin utama negara itu prihatin dan tidak melupakan serta meminggirkan masyarakat Orang Asli di sini,” katanya.

Bagi Tok Batin Kampung Senangit Pos Kemar Anjang Abus, 46, pula berkata, kejadian yang berlaku di beberapa perkampungan di kawasan itu adalah yang terburuk kerana mengakibatkan penduduk terputus terus hubungan darat termasuk kehabisan bekalan makanan.

“Kami bersyukur kerana kerajaan pantas menghantar bekalan makanan selepas beberapa hari kami terputus bekalan kerana jalan darat terputus.

“Walaupun hanya beras, sardin serta beberapa keperluan lain kami lega kerana ada tindakan segera daripada pihak berkaitan,” katanya.

Sementara itu, Muhyiddin tiba di Padang Astaka Kampung Akai Pos Kemar dengan menaiki helikopter kira-kira jam 10.15 pagi dan meluangkan masa selama kira-kira sejam melawat penduduk di perkampungan itu yang terputus hubungan darat berikutan jalan rosak, serta tanah dan jambatan runtuh.

Muhyiddin turut meninjau dua jambatan yang runtuh iaitu Jambatan Sungai Temengor di antara Kampung Jarau Baru dan Kampung Jarau Lama serta Jambatan Lengweng di antara Kampung Kantong dan Kampung Jarau Baru.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 2 January 2015 @ 9:19 AM