JAMBATAN kayu ke kampung Orang Asli di Pos Bihai runtuh lagi. FOTO RAMLI IBRAHIM
JAMBATAN kayu ke kampung Orang Asli di Pos Bihai runtuh lagi. FOTO RAMLI IBRAHIM
Ramli Ibrahim


Gua Musang: "Kami di Pos Bihai sudah empat kali berdepan dengan kejadian jambatan kayu runtuh hingga terputus hubungan," kata Penghulu Orang Asli, Pos Bihai, Alang Segan.

Menurutnya, hujan lebat pada Isnin lalu menyebabkan jambatan itu runtuh sekali lagi dan penduduk terputus hubungan serta tidak boleh ke bandar.

"Kami sudah berpakat untuk membina semula jambatan itu bagaimanapun berhadapan dengan kesukaran apabila keadaan jalan masih berlumpur dan sukar mencari kayu di hutan bagi memulakan pembinaan.

"Kami akan melakukannya secepat mungkin dan jika tidak lebih lama kami akan terputus hubungan serta sukar untuk ke bandar," katanya.

Seorang penduduk Orang Asli, Amat Along, 53, pula berkata, sebelum ini juga pernah berlaku tiga jambatan kayu runtuh sekaligus kerana banjir lumpur.

Katanya, penduduk mengambil masa 15 hari untuk menyiapkan membina semula jambatan kayu itu secara gotong-royong menggunakan kayu hutan.

"Kini sebuah daripada tiga jambatan kayu terbabit runtuh semula dan kita sedia membina dalam masa terdekat ini kerana berdepan masalah perhubungan.

"Sudah menjadi perkara biasa bagi kita sebagai penduduk Pos Bihai dan kampung lain berhampiran membaiki jambatan yang rosak serta runtuh," katanya.

Sementara itu, Pegawai Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) daerah, Muhamad Yusrizal Ghani berkata, pihaknya sudah menerima laporan berhubung kejadian itu.

Sehubungan itu, kata beliau, pihaknya sudah membuat persediaan untuk menghantar barang makanan kepada penduduk Orang Asli di pos terbabit.

"Masalahnya jalan ke beberapa kampung di Pos Bihai terputus dan mungkin kita akan guna bantuan helikopter Unit Udara Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM)," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 15 January 2021 @ 10:48 AM