BARANG makanan yang dihantar ke Pos Gob. FOTO RAMLI IBRAHIM
BARANG makanan yang dihantar ke Pos Gob. FOTO RAMLI IBRAHIM
Ramli Ibrahim


Gua Musang: Unit Udara Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) menggunakan sebuah helikopter untuk menghantar bekalan makanan kepada 169 keluarga Orang Asli yang terperangkap dalam banjir lumpur di Pos Gob di sini, hari ini.

Kira-kira 500 penduduk perkampungan itu terputus bekalan makanan sejak banjir lumpur melanda, jam 1 pagi Sabtu lalu.

Pegawai Perhubungan Awam Unit Udara JBPM Pangkalan Subang Penolong Penguasa Bomba, Mohd Farhan Marzuki berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian daripada Jabatan Kemajuan Orang Asli (JKOA) jam 8 pagi hari ini.

"Helikopter berlepas dari Pangkalan Udara Subang jam 9 pagi dan tiba di perkarangan Balai Bomba dan Penyelamat Gua Musang jam 10.10 pagi.

"Helikopter mengambil bungkusan makanan di balai bomba itu sebelum berlepas ke Pos Gob jam 10.45 pagi," katanya.

Mohd Farhan berkata, secara keseluruhan, pihaknya akan menghantar 2.5 tan makanan ke Pos Gob.

Katanya, penerbangan membabitkan tujuh kru diketuai juruterbang, Penolong Kanan Penguasa Bomba Khirul Nizan Jamaluddin dan dibantu penolong juruterbang, Timbalan Penguasa Bomba II Mohd Hasrizal Kamarulzaman.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nenggiri Ab Aziz Yusof berkata, pihaknya menyediakan keperluan makanan untuk penduduk Pos Gob.

"Kita tidak boleh hantar keperluan makanan melalui jalan darat kerana terputus hubungan, pada masa sama, jambatan juga runtuh," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 15 September 2020 @ 3:05 PM