Peserta misi bergotong royong membaiki jambatan rosak bagi membolehkan melaluinya di Pos Gob. FOTO Paya Linda Yahya
Peserta misi bergotong royong membaiki jambatan rosak bagi membolehkan melaluinya di Pos Gob. FOTO Paya Linda Yahya
Paya Linda Yahya

Gua Musang: Disebabkan keadaan jalan dan jambatan yang rosak, penduduk Orang Asli di Pos Gob di sini, tidak dapat keluar dari kampung terbabit untuk menjual hasil hutan bagi menyara keluarga mereka.

Difahamkan, peraih juga tidak mampu untuk ke perkampungan Orang Asli terbabit untuk membeli hasil hutan seperti rotan, herba tongkat ali dan asam keping.

Keadaan ini sekali gus menjadikan Orang Asli di kawasan terbabit sukar mendapatkan bekalan makan asas terutamanya beras.

Menurut John Busu, 36, kerana keadaan jalan dan jambatan yang rosak dia tidak boleh keluar untuk membeli barang makanan.

Katanya, apabila terputus bekalan beras, dia dan keluarganya hanya bergantung kepada ubi kayu yang ditanam di kawasan rumah sebagai bahan makanan utama.

"Kami sangat berharap jalan dan jambatan ini dapat disegerakan pembinaan dan dinaik taraf.

"Bila musim hujan kami tidak dapat keluar untuk membeli barangan makanan terutama beras dan susu anak.

"Adakalanya kami hanya makan ubi kayu kerana tidak mampu keluar untuk membeli dan menjual hasil hutan," katanya yang tinggal di Kampung Kajang, Pos Gob.

Bagi Mohd Noor Haslan Hussin, 35, pula, keadaan jalan dan jambatan yang rosak itu, menyebabkan peraih sukar untuk masuk ke perkampungan Orang Asli di Pos Gob untuk aktiviti jual beli.

Menurutnya, keadaan itu membantutkan usaha untuk membantu meningkatkan ekonomi masyarakat Orang Asli di kawasan terbabit.

"Ia juga menyukarkan misi bantuan dan sumbangan untuk sampai ke perkampungan Orang Asli. Sedangkan kita tahu, mereka juga perlu dibantu.

"Jadi saya harap jalan dan jambatan di sepanjang laluan ini dapat dinaik taraf secepat mungkin untuk keselesaan penduduk Orang Asli di Pos Gob," katanya yang sering terbabit dengan aktiviti menghantar bantuan makanan kepada masyarakat Orang Asli di daerah itu.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Nenggiri Ab Aziz Yusoff berkata, lebih RM2 juta diperuntukkan bagi membaiki tujuh jambatan dan menaik taraf laluan sepanjang 34 kilometer (km) dari Pos Simpor menuju ke Pos Gob.

Katanya, proses pembinaan dan naik taraf itu sudah dalam pembinaan dan dijangka siap pada tahun hadapan.

"Projek ini akan memberi manfaat kepada lebih 1,000 penduduk Orang Asli Pos Gob. Selepas ini mereka tidak lagi berhadapan dengan masalah jambatan kayu dan jalan yang rosak," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 12 Oktober 2022 @ 1:53 PM