WARIS mangsa nahas pesawat AirAsia Indonesia QZ8501 menahan emosi.
WARIS mangsa nahas pesawat AirAsia Indonesia QZ8501 menahan emosi.

Surabaya: Seramai 25 pakar forensik bersiap sedia mengenal pasti identiti jasad nahas pesawat AirAsia Indonesia QZ8501 sebelum menyerahkan maklumat kepada keluarga mangsa.

Menurut Detik.com, barisan pakar berkenaan dari pelbagai hospital dan fakulti kedoktoran di Jawa Timur seperti Universitas Airlangga (UNAIR), Hospital Bhayangkara, Rumah Sakit Umum (RSU) Dr Soetomo serta Forensik Mabes Polis Republik Indonesia (POLRI).

“Ada 25 doktor forensik bergabung untuk membantu proses mengenal pasti identiti jasad,” kata Gabenor Jawa Timur Soekarwo.

Sementara itu, persiapan untuk proses mengenalpasti jasad sudah dilakukan Pasukan Pengecaman Mangsa Bencana (DVI) Polis Daerah Jawa Timur dan setakat ini belum ada bantuan asing.

Ketua Polis Daerah Jawa Timur Anas Yusuf berkata, DVI Jawa Timur turut bekerjasama dengan Dinas Kesihatan Provinsi Jawa Timur, RSU Dr Soetomo, untuk proses pengecaman.

“Kita hanya menunggu proses pemindahan yang akan dilakukan Badan Mencari dan Menyelamat Nasional (BASARNAS),” katanya.

Dalam pada itu, Ketua Perhimpunan Doktor Pakar Kedoktoran Jiwa Indonesia (PDSKJI) Cabang Surabaya, Dr Roni S berkata, sebanyak tiga pakar sakit jiwa ditugaskan memberi kaunseling kepada keluarga mangsa.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 1 January 2015 @ 8:22 AM