Surabaya: Sikat, berus gigi atau baju yang belum dicuci milik mangsa pesawat AirAsia Indonesia QZ8510 adalah antara objek yang diperlukan Pasukan Pengecaman Mangsa Bencana (DVI).

Difahamkan keluarga mangsa pesawat AirAsia QZ8510 diminta menyerahkan barang peribadi mangsa itu bagi memudahkan proses ujian asid deoksiribonukleik (DNA) terhadap mayat ditemui.

Media Surya Online dipetik berkata, pihak DVI berdepan misi sukar melakukan pengecaman mayat mangsa secara fizikal berikutan kebanyakan mangsa sudah reput akibat terlalu lama berada di dalam laut.

Ketua pasukan DVI Polis Daerah Jawa Timur (POLDA JATIM) Budiyono berkata, ujian DNA adalah ikhtiar terakhir bagi mengenal pasti identiti mangsa selepas penelitian dilakukan melalui barang, pakaian atau sebarang petunjuk fizikal yang tertinggal pada tubuh mangsa.

Menurutnya, pihak DVI sudah mendapatkan 160 sampel DNA daripada keluarga mangsa nahas itu.

“Bagaimanapun tidak semua sampel DNA itu diperoleh daripada ahli keluarga mangsa terdekat berikutan ada juga kumpulan keluarga yang menaiki pesawat itu beramai-ramai.

“Semakin lama mayat terendam di dalam air laut, maka keadaan tubuh semakin sukar untuk dikenali pasti secara luaran. Ini antara punca masih banyak mayat mangsa disimpan di Hospital Bhayangkara,” katanya.

Difahamkan proses identifikasi terhadap 21 mayat mangsa dilakukan oleh pasukan DVI di Polda Jatim sekitar jam 8.48 pagi semalam.

Proses itu turut membabitkan tujuh mayat mangsa terbaru yang tiba ke Surabaya jam 8.15 malam kelmarin.

Polis Diraja Malaysia (PDRM) sebelum ini turut menghantar sepasukan anggota DVI bagi membantu pihak Indonesia mengenal pasti identiti mangsa Selasa lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 11 January 2015 @ 5:11 AM