TENGKU Adnan (tengah) menunjukkan isyarat bagus selepas menyerahkan sumbangan beg dan peralatan sekolah.
TENGKU Adnan (tengah) menunjukkan isyarat bagus selepas menyerahkan sumbangan beg dan peralatan sekolah.
Oleh Ainul Fatihah Mansor

Putrajaya: “Tindakan dilakukan sebuah kelab permotoran itu adalah untuk menimbulkan sensasi selain menunjukkan seolah-olah Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) tidak membuat kerja,” kata Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.

Beliau berkata demikian ketika mengulas mengenai tindakan sebuah kelab permotoran dikenali sebagai Silaturrahim Brotherhood (Brotherhood) yang melakukan kerja penurapan sendiri jalan berlubang di sekitar ibu kota.

Tengku Adnan berkata, masalah jalan rosak dan tidak diturap di Kuala Lumpur berpunca akibat tindakan beberapa syarikat utiliti dan telekomunikasi yang mengambil jalan mudah dengan tidak menurap semula jalan selepas kerja menggali tanah dilakukan.

“Sehubungan itu, muncul satu kumpulan yang melakukan kerja penurapan jalan secara sukarela biarpun kita sudah meminta mereka untuk tidak berbuat demikian.

“Kami percaya kumpulan itu hanya ingin menimbulkan sensasi seolah-olah menunjukkan DBKL tidak membuat kerja. Itu mereka punya pasal, tapi kita tahu apa nak yang hendak dilakukan,” katanya pada sidang media selepas menyempurnakan Majlis Penyerahan Beg Sekolah kepada wakil sekolah rendah dalam Parlimen Putrajaya di sini, semalam.

Tengku Adnan berkata, pihaknya sudah meminta agensi berkenaan termasuk Syarikat Bekalan Air Selangor (SYABAS), Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan Telekom Malaysia Berhad (TM) supaya menurap semula jalan yang digali sebelum ini, namun ia gagal dilaksanakan.

Terdahulu, Tengku Adnan turut menyerahkan beg sekolah dan kotak pensel kepada wakil 14 sekolah di sekitar Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan.

Ia akan diagihkan kepada lebih 3,000 murid tahun satu yang dijangka memulakan sesi persekolahan awal Januari depan.

Program berkenaan adalah inisiatif Biro Pendidikan UMNO Putrajaya dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Putrajaya bagi membantu meringankan beban ibu bapa menjelang persekolahan.

Tengku Adnan berkata, selain itu, beliau juga merayu kepada seluruh Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Barisan Nasional (BN) supaya melakukan perkara sama di kawasan masing-masing.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 11 Disember 2014 @ 8:32 AM