MUHAMMAD Faiz (tiga dari kanan) mengagihkan sumbangan makanan kepada penuntut UMT, semalam. FOTO Ahmad Rabiul Zulkifli.
MUHAMMAD Faiz (tiga dari kanan) mengagihkan sumbangan makanan kepada penuntut UMT, semalam. FOTO Ahmad Rabiul Zulkifli.
Ahmad Rabiul Zulkifli


ISU penuntut terpaksa mengikat perut kerana kekangan kewangan tidak berlaku lagi di Universiti Malaysia Terengganu (UMT) selepas Program Food Bank Mahasiswa iaitu program pemberian makanan percuma kepada penuntut UMT diperkenalkan, awal bulan ini.

Melalui program itu, makanan seperti nasi lemak, mi goreng dan kuih muih disediakan secara percuma untuk penuntut UMT yang memerlukan.

Makanan disediakan secara percuma itu hasil pemberian Pemuda Pakatan Harapan (PH) Terengganu dan warga UMT sendiri serta sumbangan orang awam dalam usaha membantu penuntut kesempitan wang khususnya penuntut dari luar Terengganu ketika mengikuti pengajian di universiti berkenaan.

Pengerusi Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), Muhammad Faiz Fadzil Noor berkata, Food Bank sangat membantu dalam meringankan beban ibu bapa khususnya bagi penuntut kurang berkemampuan.

“Ia satu inisiatif baru yang sangat diperlukan di sesebuah universiti bagi memberi manfaat kepada penuntut kesempitan wang, sekali gus membuktikan keprihatinan pihak UMT terhadap kebajikan penuntut.

“Saya harap program bermanfaat seperti ini dapat diteruskan dan Pemuda PH Terengganu akan bekerjasama bagi memastikan program ini diteruskan dari semasa ke masa seterusnya memberi manfaat secara keseluruhan,” katanya ketika ditemui pada Majlis Perasmian Program Food Bank Mahasiswa UMT di Gong Badak, semalam.

Hadir sama, Ketua Pemuda Parti Amanah Negara (AMANAH) Terengganu Hasbie Muda; Pegawai Khas Timbalan Menteri Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) Abbas Azmi dan Pengarah Pusat Keusahawanan dan Kerjaya (CEC) UMT, Dr Mohd Shaari Abd Rahman.

Terdahulu, Muhammad Faiz yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permatang Pasir, Pulau Pinang mengagihkan sebanyak 250 bungkusan makanan kepada penuntut di ruang legar Kompleks Siswa UMT.

Sementara itu, Hasbie berkata, Food Bank akan dianjurkan secara berkala sebagai kecaknaan dan kebersamaan Pemuda PH bersama mahasiswa di UMT.

“Setiap penuntut di institusi pengajian tinggi pasti pernah melalui pengalaman ketiadaan wang untuk makan dan minum termasuk saya sendiri, justeru kami berasa bertanggungjawab membantu penuntut memerlukan.

“Food Bank ini bertepatan dengan program dijalankan sukarelawan Act of Kindness (AOK) dan Gerobok Rezeki UMT sejak 2017, jadi ia akan diteruskan kerana terbukti meringankan beban,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 9 April 2019 @ 1:57 AM