Zatul Iffah Zolkiply

Kuala Nerus: Mahu mengubah nasib keluarga dan menjadi contoh kepada masyarakat Orang Asli mendorong D Arisna, 36, menyambung pengajiannya ke Kolej Ketengah di Bandar Al-Muktafi Billah Shah, Dungun.

Usaha ibu kepada empat anak itu akhirnya membuahkan hasil apabila dia bukan sahaja berjaya memperoleh Diploma Pendidikan Awal Kanak-Kanak tetapi turut menerima Anugerah Kecemerlangan Diploma Orang Asli pada Majlis Konvokesyen Kolej Ketengah Ke-3 Tahun 2022 di Dewan Sultan Mizan, Universiti Malaysia Terengganu di sini hari ini.

Menurut Arisna, kebanyakan masyarakat Orang Asli di kampung bekerja kilang atau melakukan kerja kampung menyebabkan terdetik di hatinya untuk mencabar diri.

"Saya ambil peluang sambung pelajaran walaupun sudah bekerja sebagai guru kerana saya rasa rugi sekiranya tidak memanfaatkan peluang yang ada," katanya yang berasal dari Tronoh, Perak.

Asrina yang juga anak keenam daripada 12 adik beradik turut mengakui berdepan pelbagai cabaran seperti yang biasa dialami penuntut yang lain.

"Saya menyambung pengajian jarak jauh (PJJ) pada 2018 dan keadaan memang mencabar kerana perlu membahagikan masa antara tugas sebagai isteri, ibu dan guru tabika kemas.

"Mula-mula memang berulang-alik ketika cuti sekolah tetapi bila Covid-19 melanda, kelas diadakan secara dalam talian.

PENERIMA Anugerah Khas Kecemerlangan Diploma Orang Asli kepada graduan Diploma Pendidikan Awal Kanak-kanak, Arisna a/p Dahlan pada Majlis Konvokesyen Kolej Ketengah  Kali Ke-3 di UMT. FOTO Ghazali Kor
PENERIMA Anugerah Khas Kecemerlangan Diploma Orang Asli kepada graduan Diploma Pendidikan Awal Kanak-kanak, Arisna a/p Dahlan pada Majlis Konvokesyen Kolej Ketengah Kali Ke-3 di UMT. FOTO Ghazali Kor

"Kekangan saya ketika itu tentulah daripada segi capaian internet kerana tinggal di kawasan pedalaman dan hari ini, saya bangga kerana berjaya menamatkan pengajian," katanya yang berhasrat mahu menyambung pengajian ke peringkat sarjana muda.

Terdahulu, majlis konvokesyen berkenaan disempurnakan Menteri Pembangunan Luar Bandar Datuk Seri Mahdzir Khalid.

Seramai 648 graduan masing-masing menerima diploma dan sijil yang terdiri daripada 404 penuntut diploma dan 244 penuntut sijil.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 26 Jun 2022 @ 7:35 PM