Nazdy Harun


Kuala Nerus: "Mungkin selepas ini kami terpaksa membawa haluan masing-masing selepas dari kecil hingga bergelar graduan kami hidup bersama.

"Dari sekolah rendah hingga menengah sebelum melanjutkan pengajian di peringkat diploma dan akhirnya berjaya menamatkan pengajian di peringkat ijazah sarjana muda, kami tidak pernah berpisah," kata Nur Syakirah Shahrol Aman, 25, dan adiknya, Nur Syahirah Shahrol Aman, 25, ketika ditemui selepas Majlis Konvokesyen Universiti Malaysia Terengganu (UMT) ke-19, di sini, semalam.

Nur Syakirah berkata, selepas tamat tingkatan lima dia menyambung pengajian peringkat diploma di Kolej Politeknik Mara Kota Bharu dalam bidang agro teknologi.

Menurutnya, dia tidak menyangka ditawarkan kursus sama dan tempat belajar sama sepanjang tiga tahun menuntut di politeknik itu.

Katanya, selepas tamat pengajian peringkat diploma, dia memohon untuk melanjutkan pengajian di peringkat ijazah sarjana muda bersama adiknya.

"Saya tidak sangka rezeki memihak lagi kepada kami selepas diterima melanjutkan pengajian dalam bidang Agro Teknologi di UMT.

"Apabila bersama, semua kerja menjadi mudah terutama ketika berjauhan dengan keluarga dan saya bersyukur dapat menghabiskan masa bersama dari kecil hingga ke menara gading.

"Mungkin selepas ini kami perlu membawa haluan masing-masing memandangkan Syahirah kini berkerja bank di Kuala Lumpur, manakala saya belum bekerja," katanya yang menetap di Cheras.

Ibunya, Norhafizah Ramly, 50, berkata, dia berharap anak kembarnya itu berjaya dengan cemerlang dalam bidang diceburi mereka.

Menurutnya, dia serta suami tidak pernah memaksa anak dalam menentukan bidang pengajian dan memberi dorongan kepada mereka untuk memilih bidang diminati sama ada dalam pendidikan atau kerjaya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 21 Mac 2022 @ 1:31 PM
Nur Syakirah Shahrol Aman, 25, (kiri) dan adiknya Nur Shahirah Shahrol Aman, 25, menunjukkan skroll ijazah yang diperolehi di Majlis Konvokesyen Universiti Malaysia Terengganu (UMT). FOTO NAZDY HARUN
Nur Syakirah Shahrol Aman, 25, (kiri) dan adiknya Nur Shahirah Shahrol Aman, 25, menunjukkan skroll ijazah yang diperolehi di Majlis Konvokesyen Universiti Malaysia Terengganu (UMT). FOTO NAZDY HARUN