MANSOR menunjukkan ubi kayu gergasi yang ditemui di kebunnya di Kampung Bukit Kecil Sungai Pinang, kelmarin.
MANSOR menunjukkan ubi kayu gergasi yang ditemui di kebunnya di Kampung Bukit Kecil Sungai Pinang, kelmarin.

Balik Pulau: “Saya mengambil masa 30 minit untuk menggali ubi kayu ini, malah kerja mengorek tanah dilakukan berhati-hati menggunakan parang bagi mengelak isi ubi rosak,” kata pesara Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Johar Mansor, 53, yang teruja selepas menemui ubi kayu gergasi di kebunnya, kelmarin.

Johar berkata, dia ke kebunnya di Kampung Bukit Kecil, Sungai Pinang di sini, jam 3 petang kelmarin, untuk membersih dan memeriksa tanamannya.

Namun, dia tertarik dengan saiz batang pokok ubi sebesar genggaman orang dewasa dan dianggap luar biasa dan berbeza dengan pokok lain.

Berikutan itu, dia mengambil keputusan untuk menggali ubi berkenaan bagi melihat hasilnya dan berasa teruja selepas menemui ibu kayu gergasi dianggarkan seberat 20.20 kilogram itu.

“Pada mulanya saya menggunakan cangkul, namun pelik kerana belum dapat melihat isinya. Saya risau jika ia merosakkan ubi lalu saya mengorek tanah menggunakan parang.

“Selepas hampir satu meter mengorek tanah, saya mula melihat isi ubi berkenaan dan bagi mengelakkan ia rosak, saya terpaksa mengorek tanah di sekelilingnya dengan berhati-hati,” katanya.

Usahanya mengeluarkan ubi berdepan kesukaran kerana kedudukannya tertanam jauh di dalam tanah.

Katanya, dia terpaksa menggunakan kekuatan yang ada bagi menarik keluar isi ubi berkenaan.

Pesara TLDM itu berkata, dia tidak bercadang memproses isi ubi itu kepada bahan makanan atau hidangan istimewa, sebaliknya mahu menyimpan bagi memberi peluang masyarakat melihat sendiri keunikannya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 17 November 2014 @ 5:20 AM