Ampang: Penjenayah ‘Mat Afrika’ dikesan aktif berkeliaran di daerah ini untuk mencari sasaran mangsa melalui penipuan ‘black money’, pengiriman hadiah wasiat dan pelbagai bentuk skim penipuan Internet lain.

Penjenayah Afrika ini yang memasuki Malaysia menggunakan pas pelajar dikesan turut aktif memperdaya dan cuba mengikis wang wanita tempatan.

Tindakan mereka ini dibuktikan apabila pihak Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya menerima sebanyak 52 laporan kes penipuan warga Afrika sejak Januari 2013 hingga Oktober 2014.

Ketua Polis Daerah Ampang Asisten Komisioner Khairuldin Saad berkata, Bahagian Siasatan Jenayah Komersial IPD Ampang Jaya menerima 34 kes penipuan Afrika pada tahun 2013 dan 18 kes dari Januari sehingga Oktober tahun ini.

Menurutnya, pihak polis berjaya menyelesaikan 27 kes dari jumlah keseluruhan penipuan itu.

Beliau berkata, pihak polis sentiasa berusaha memastikan sindiket penipuan ditumpaskan di daerah ini dan menasihatkan orang ramai jangan mudah mempercayai tawaran membabitkan warga Afrika terutama melalui Internet.

“Kita mesti tahu dan memahami terlebih dahulu sifat semula jadi Internet kerana kita tidak mengetahui siapa sebenarnya yang berkomunikasi atau berhubung.

“Selain itu, jangan mudah memberikan nombor akaun kepada kenalan Internet untuk tujuan yang tidak pasti,” katanya.

Khairuldin berkata, orang ramai juga disarankan tidak mudah terpedaya dengan ayat cinta dalam masa singkat di Internet kerana ia hanya untuk mengaburi mangsa.

“Mereka juga harus berwaspada jika didatangi suspek yang menawarkan kaedah menggandakan duit melalui alam jin berikutan ia jelas penipuan.

“Sehubungan itu orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berhubung kes penipuan Afrika diminta membuat laporan polis di balai polis berdekatan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 13 November 2014 @ 5:11 AM