Oleh Fardy Bungga

 

Ampang: Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya akan menumpukan tiga kawasan bagi memastikan kelancaran trafik sempena Ops Selamat menjelang Hari Raya Aidilfitri, dalam usaha mengawal keselamatan pengguna jalan raya.

Ops Selamat kali ini bertujuan melancarkan pergerakan kenderaan yang dijangka meningkat terutama pada hari terakhir sebelum sambutan Aidilfitri.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Khairuldin Saad berkata, operasi yang dilancarkan bermula hari ini lebih menumpukan kawasan kerap berlaku kemalangan dan kesesakan sebelum dan selepas musim perayaan ini.

Menurutnya, lebih 50 anggota polis termasuk pegawai ditempatkan di tiga tempat iaitu sepanjang Lebuhraya MRR2, Lebuh Ampang dan Kawasan Jalan Tasik Permai.

"Selaras dengan kempen Ops Selamat ini, kami bukan saja memastikan keselamatan pengguna jalan raya dalam mengatasi masalah kemalangan malah menitik beratkan keselamatan rumah penduduk.

"Setiap pemilik rumah yang akan pulang ke kampung disarankan supaya memaklumkan kepada kami sepanjang ketiadaan mereka di rumah.

"Pasukan unit MPV dan URB akan dikerahkan supaya meronda ke rumah-rumah yang dilaporkan kepada polis supaya selamat dan tidak menjadi sasaran penjenayah,"katanya ketika ditemui semasa melancarkan Ops Selamat IPD Ampang Jaya di Lebuhraya MRR2, hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 10 Julai 2015 @ 5:03 PM