LAPORAN Harian Metro, semalam.
LAPORAN Harian Metro, semalam.
Tuan Asri Tuan Hussein

Masalah jenayah siber masih membelenggu masyarakat kita hari ini biarpun banyak kes membabitkan isu itu dilaporkan media.

Jenayah siber ini merujuk kepada penipuan secara profesional yang dilakukan hanya dengan membuat panggilan telefon, kiriman SMS dan juga melalui Internet.

Melihat kepada betapa besarnya keuntungan dikaut penyangak kolar putih ini, Polis Diraja Malaysia (PDRM) kini menjalin kerjasama dengan 51 bank di negara ini dalam usaha terbaru untuk mengekang penjenayah siber daripada terus rakus menambah koleksi mangsa.

Ketika melancarkan kolaborasi strategik itu sebelum ini, Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata, siasatan pihaknya menunjukkan faktor utama peningkatan kes sedemikian berpunca daripada kurangnya pemahaman dan kesedaran rakyat dalam berdepan taktik penjenayah siber terbabit.

“Laporan menunjukkan masih ramai masyarakat yang mudah ditipu. Selepas berkenalan dengan seseorang, hanya menerusi laman sosial dan dalam tempoh masa singkat, mereka dengan mudah memasukkan wang ke dalam akaun kenalan baru itu,” katanya.

Justeru, jelas di sini, kata kunci atau punca kepada penularan jenayah siber ini ialah kecuaian dan kurang pemahaman.

Hakikat inilah yang sebenarnya mengecewakan saya kerana kegiatan penjenayah siber ini sudah dilaporkan Harian Metro sejak sekian lama.

Malah, hasil maklumat eksklusif disalurkan PDRM, pada Oktober 2011, kami di Harian Metro sudah menyiarkan laporan bersiri selama seminggu mengenai taktik dan modus operandi sindiket didalangi warga Nigeria untuk memerangkap mangsanya di negara ini terutama wanita.

Harapan kami di Harian Metro ialah supaya orang ramai sedar dan tahu mengenai perkara ini lalu terselamat daripada menjadi mangsa.

Malangnya, hasrat kami itu tidak kesampaian.

Jadi, salah siapa apabila mangsa jenayah siber ini terus meningkat? Terbukti, dalam kebanyakan kes ia salah mangsa itu sendiri. Laporan media tidak diikuti, nasihat polis tidak dipatuhi dan kecanggihan teknologi gagal dimanfaatkan.

Bercakap mengenai kecanggihan teknologi maklumat (IT) hari ini, fakta menunjukkan ramai juga dalam kalangan mangsa adalah golongan celik IT, namun ini nyata tidak mencukupi jika individu itu masih buta informasi dan buta nafsu.

Ini kerana statistik PDRM menunjukkan wanita terutama golongan profesional yang hidup sendirian adalah kategori paling banyak menjadi mangsa penipuan ‘kasanova Internet’ yang kebiasaannya didalangi sindiket lelaki Afrika.

Pada masa sama, kepada golongan yang masih lagi buta IT, sedarilah anda sebenarnya tidak ada pilihan selain memastikan menukar status kepada golongan celik IT.

Sebenarnya kita tidak perlu menjadi terlalu ‘advance’ atau pakar IT, memadailah jika kita sekadar menguasai perkara asas termasuk memiliki gajet seperti telefon pintar, jika pun tidak tablet dan memiliki akaun laman sosial, sekurang-kurangnya Facebook atau Twitter.

Bagi saya, memiliki kemudahan di atas kini sudah menjadi keperluan. Tanpanya, kita bukan saja akan mudah ketinggalan dalam banyak aspek kehidupan, tapi lebih malang kita akan mudah dimanipulasi hingga menjadi mangsa penipuan.

Tanpa gajet asas dan pengetahuan dalam IT juga, sia-sia sajalah usaha kerjasama PDRM dengan 51 bank bagi mengekang jenayah siber. Ini kerana antara kemudahan disediakan ialah sebuah portal memaparkan tip dan modus operandi penipuan siber.

Portal ini dipautkan dengan laman web bank terbabit bagi mewujudkan kesedaran kepada pengguna. Jadi, kalau kita buta Internet bagaimana mungkin kemudahan ini boleh kita manfaatkan.

Kesimpulannya, hanya dengan memiliki pakej celik IT, celik info dan celik nafsu, barulah kita mampu menghindarkan diri daripada menjadi mangsa penjenayah siber yang setiap hari sentiasa licik menaik taraf kepakaran mereka untuk melakukan penipuan.

Penulis ialah Penulis Khas Kanan Harian Metro

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 6 Ogos 2016 @ 10:17 AM