ANGGOTA Rejimen 21 RAMD membuat persiapan untuk membantu mangsa banjir di Kem Pengkalan Chepa.
ANGGOTA Rejimen 21 RAMD membuat persiapan untuk membantu mangsa banjir di Kem Pengkalan Chepa.

Rantau Panjang: Anggota tentera daripada 21 Rejimen Askar Melayu Diraja (21 RAMD) Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang berpengkalan di Kem Pengkalan Chepa akan digerakkan bagi membantu memindahkan mangsa banjir negeri ini.

Pegawai Memerintah Batalion Ke-21 RAMD Leftenan Kolonel Suhaimi Shamsuddin berkata, pasukannya membuat persediaan membantu mangsa banjir di negeri ini.

“Persediaan dibuat untuk anggota membantu memindahkan mangsa ke tempat lebih selamat. Kami bantu di seluruh negeri, tetapi tumpuan adalah di kawasan yang berisiko.

“Bagi kawasan sempadan terutamanya di Rantau Panjang, 20 pegawai dan anggota akan diberi tanggungjawab itu,” katanya pada sidang media di Sasaran Penting 8 Briged, Kem Rantau Panjang, di sini, semalam.

Turut hadir, Ketua Kumpulan Bantuan Banjir di Sasaran Penting 8 Briged, Kem Rantau Panjang, Kapten Hafiz Helmi Hassan.

Menurutnya, kelengkapan logistik seperti bot dan trak ditempatkan di daerah banjir terutamanya Rantau Panjang, Pasir Mas, Tumpat dan Kota Bharu.

Katanya, jentera akan digerakkan apabila tiba masa dengan latihan menyelamat diperkemas dari semasa ke semasa.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 23 November 2014 @ 5:15 AM